Ensiklopedia

Keterangan ringkas & tepat mengenai pelbagai ilmu!

 

IMAM AL-GHAZALI: PEMBINA JIWA, PENGUKUH TAMADUN

Oleh: Mohd Shauki Abd Majid

Beliau bukan seorang membina istana-istana megah. Beliau bukan juga yang memimpin bala tentera menakluk negera-negara jauh. Namun beliau telah membina sesuatu yang lebih besar daripada kota batu, dan lebih kekal daripada empayar raja-raja. Beliau membina manusia.

Tatkala umat Islam mula terpesona dengan kemewahan dunia, dan ilmu menjadi kebanggaan yang kosong daripada jiwa, Imam Al-Ghazali RH bangkit, menghidupkan kembali cahaya yang hampir padam. Beliau mengajarkan bahawa kekuatan sebenar bukan bermula pada tangan, tetapi pada hati yang bertaqwa. Bukan pada banyaknya himpunan harta, tetapi pada bersihnya jiwa.

Hari ini kita menyelami falsafah agung cendekiawan abad ke-11 dari Zaman Kegemilangan Islam, yang membuktikan bahawa kebangkitan ummah bermula dengan menawan hati.

Doktrin Futuwwah

Imam Al-Ghazali menegaskan bahawa kekuatan sesebuah tamadun bukanlah pada tingginya menara, tetapi pada tingginya akhlak manusia yang membinanya. Daripada pemikirannya, lahirlah suatu falsafah peradaban yang berbunyi: "Perbaikilah manusia, nescaya manusia akan memperbaiki dunia".

Inilah roh futuwwah yang beliau hidupkan. Futuwwah bukan sekadar keberanian mengangkat pedang. Sebaliknya, ia adalah keberanian menundukkan nafsu, keberanian berkata benar ketika ramai memilih diam, keberanian memberi ketika diri sendiri memerlukan, keberanian merendah diri ketika memiliki kuasa, dan keberanian mencintai Tuhan lebih daripada mencintai dunia.

Daripada futuwwah inilah, lahirlah karakter. Daripada karakter, lahirlah jatidiri. Daripada jatidiri, lahirlah masyarakat. Dan daripada masyarakat yang berjiwa besar itulah, terbangunnya sebuah tamadun.

Bahaya 'Wang Mati'

Namun, Al-Ghazali bukan sekadar seorang tokoh kerohanian. 900 tahun sebelum wujudnya teori ekonomi moden, beliau telah menggariskan bahawa wang dan moraliti adalah dua entiti yang saling berkait rapat dan tidak boleh dipisahkan.

Al-Ghazali tidak melihat wang sebagai simbol status atau sesuatu untuk ditimbun, tetapi sekadar alat pemudah cara pertukaran. Beliau mengumpamakan wang sebagai sebuah "cermin", kerana ia tidak mempunyai nilai intrinsik, sebaliknya nilainya terhasil sepenuhnya daripada apa yang dipantulkannya, iaitu perdagangan, pembinaan, dan kerjasama yang digerakkannya.

Beliau memberikan amaran keras tentang betapa bahayanya "wang mati". Penimbunan kekayaan atau hoarded wealth disifatkan sebagai "wang mati" yang akan membekukan aliran darah sesebuah masyarakat. Apabila kekayaan tidak beredar dalam ekonomi untuk mendanai perdagangan atau menyara keluarga, ia akhirnya akan memanipulasi harga barang dan melumpuhkan pasaran.

Lihat sahaja pendedahan demi pendedahan moden seperti Panama Papers dan Pandora Papers. Golongan elit kapitalis, diktator korup, dan oligarki teknologi secara  rahsia  menyembunyikan  trilion  dolar  kekayaan  mereka  di syarikat-syarikat cengkerang di kawasan perlindungan cukai atau tax havens. Wang yang terlampau banyak ini tidak dilaburkan kembali ke dalam rantaian ekonomi sebenar untuk membina tamadun, tidak membasmi kemiskinan, dan tidak digunakan untuk membayar gaji pekerja kelas bawahan. Ia sekadar nombor yang dibekukan di dalam peti besi digital. Inilah manifestasi paling nyata bagi amaran Al-Ghazali tentang "wang mati" yang meruntuhkan ketamadunan manusia.

Kemuliaan Bekerja

Dalam soal pasaran, Al-Ghazali mengecam keras perbuatan spekulasi, seperti memanipulasi harga atau mencipta kekurangan bekalan secara palsu. Perbuatan ini dilabel sebagai "keuntungan tanpa sumbangan", yang dianggap sebagai satu korupsi moral seperti wabak penyakit, dan akhirnya menghancurkan keseluruhan masyarakat.

Sebaliknya, beliau mempertahankan kemuliaan bekerja, dan menganggap kekayaan yang diperoleh melalui manipulasi tanpa usaha sebagai sesuatu yang sangat berbahaya kepada roh dan sosial masyarakat. Sesebuah masyarakat hanya akan menjadi kuat apabila individu di dalamnya menyumbang lebih banyak daripada apa yang mereka ambil.

Lebih menakjubkan, ketika pakar ekonomi moden menggunakan istilah seperti "transaction costs" atau "information asymmetry", Al-Ghazali telah lama berhujah bahawa pasaran hanya boleh berfungsi apabila wujudnya rasa saling percaya. Sebaik sahaja kepercayaan ini runtuh, ekonomi juga akan serta-merta ranap.

Sinyalir tajam ini tepat merobek jantung sistem kapitalisme kewangan hari ini. Ingat kembali malapetaka Krisis Kewangan Global 2008 di Wall Street. Institusi kewangan gergasi dan pengurus dana lindung nilai (hedge funds) memanipulasi pasaran kertas dan bertaruh secara spekulatif ke atas hutang perumahan rakyat. Mereka mencedok keuntungan berbilion dolar tanpa menyumbang walau satu titik nilai fizikal kepada ketamadunan manusia. Apabila gelembung spekulasi rakus ini pecah, jutaan nyawa kelas pertengahan dan bawahan di seluruh dunia hancur, hilang pekerjaan dan kehilangan tempat tinggal secara sekelip mata.

Ekosistem Moral

Al-Ghazali juga adalah antara tokoh terawal yang mengkritik keras manipulasi mata wang oleh pihak pemerintah. Beliau menyifatkan tindakan mencairkan kualiti syiling emas atau perak sebagai satu "kecurian". Apabila penguasa memanipulasi mata wang demi menyelesaikan masalah bajet jangka pendek, mereka sedang menghakis kepercayaan awam, di samping meruntuhkan nilai intrinsik mata wang tersebut.

Akibatnya, rakyat akan meninggalkan mata wang tempatan dan beralih kepada mata wang asing yang lebih kukuh. Ini adalah dinamik tepat yang sedang kita saksikan dalam pelbagai krisis kewangan moden hari ini.

Secara tuntasnya, wang bukanlah satu objek mekanikal, tetapi ia adalah sebuah "ekosistem moral". Keruntuhan ekonomi sangat jarang berpunca daripada kekurangan sumber, tetapi ia berpunca daripada kehancuran kepercayaan dan kegagalan institusi untuk menegakkan keadilan. Amaran utama Imam Al-Ghazali itu jelas - jika wang dipisahkan daripada moraliti, sistem itu akhirnya akan hancur.

Apa yang ditegur oleh Al-Ghazali sebagai "kecurian" 900 tahun lalu itu, sedang melanda dunia secara global pada saat ini. Apabila bank-bank pusat dunia dengan rakus mencetak wang tanpa sandaran nilai fizikal, satu dasar yang dikenali sebagai Quantitative Easing, semata-mata untuk menutup bebanan hutang kerajaan, kuasa beli rakyat sebenarnya sedang dirompak secara halus melalui letusan inflasi. Kita melihat kesan ekstrem penipuan ekonomi ini di negara-negara seperti Venezuela, Zimbabwe, atau Lubnan. Akibat pengkhianatan dasar ini, mata wang kertas mereka bertukar menjadi sampah, memaksa mangsa keadaan membuang mata wang tempatan dan bermati-matian menyelamatkan sisa kekayaan mereka ke dalam aset seperti emas atau dolar.

Warisan Merentas Zaman

Sejarah sentiasa membuktikan bahawa bangunan boleh runtuh, kerajaan boleh tumbang, dan kekayaan boleh lenyap. Namun asas yang dibina daripada iman, ilmu, akhlak, dan futuwwah, akan terus hidup merentas zaman.

Kerana itulah warisan Al-Ghazali tidak pernah terkubur dalam lipatan sejarah. Selama manusia masih mencari makna kehidupan, umat masih mendambakan kebangkitan, dan dunia masih memerlukan cahaya petunjuk, warisan beliau akan terus berdiri sebagai asas agung kebangkitan ummah, tidak dapat disingkirkan dari sejarah, dan akan terus menjadi pelita bagi masa hadapan.

Written by Admin
Category: Ensiklopedia
Hits: 188
  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

Bacaan Popular


Baca topik

Terkini


TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com