Ensiklopedia

Keterangan ringkas & tepat mengenai pelbagai ilmu!

 

KETIKA CINTA DISALAHKAN: APAKAH IA SILAP ALAMAT?

Kisah cinta cukup mempesonakan. Kisah cinta tidak pernah pudar walaupun berkali-kali mentafsirkan maknanya baik menurut versi Laila Majnum, Romeo and Juliet, mahupun seperti filem Bobby lakonan Dimple Kapadia dan Rishi Kapor.

Cinta akan tetap hadir dan membekas dalam sanubari setiap manusia walaupun ada di antaranya pernah dihancurkan oleh cinta salah alamat, atau cinta monyet dan cinta yang tidak kesampaian. Cinta Hampa: Cinta hanya separuh hati….betapa sakitnya hati kecewa, kerana cinta. Itu antara lirik lagu yang cukup melankolik dendangan kumpulan D’llyod yang cukup masyhur pada tahun 1970-an. Lagu itu dikeluarkan pada tahun 1970 dibawah album berjudul The Best Special Pilihan. Bukan hanya setakat mengeluh, kecewa akibat Cinta Hampa, penyanyinya juga mengharapkan perasaan yang sama akan dirasai oleh bekas kekasihnya, betapa sakitnya hati kecewa,  kerana cinta.

Ada banyak sebab kenapa kecewa kerana cinta. Ada banyak kenangan yang terbina sepanjang melayari samudera cinta. Tetapi, yang penting ialah bagaimanakah cinta itu dapat mengajar kita makna kematangan dan harga diri. Cinta bukan bermakna menyerahkan segalanya hingga terlupa harga diri dan nilai yang patut dipertahankan. Jangan jadi gila kerana cinta, jangan mabuk asmara sehingga terus jadi sewel. Jangan kerana cinta sanggup bunuh diri, atas apa alasan sekalipun termasuk tidak tahan menanggung malu.

“Saya tahu sedihnya berpisahnya,” jelas Emilia Contessa (lahir 27 September 1957), seorang penyanyi dan pelakon yang cukup diminati setelah menonton lakonannya bersama Broery Marantika, Akhir Sebuah Impian, sebuah filem cinta yang pecah panggung pada tahun 1973. Emilia Contessa (nama asalnya, Nur Indah Citra Sukma Hati) sudah dua kali bercerai. Tahun 1976 berkahwin dengan Rico Tambunan. Hasil hidup bersama selama dengan Rico, mereka dianugerahkan dua orang cahayamata, Denada Elizabeth Anggia Ayu dan Enrico Wenry Rizky. Mereka kemudiannya bercerai pada tahun 1983.

Lima tahun kemudian (1988), Emilia berkahwin dengan Abdullah Sidik Sukarty. Empat tahun kemudian (1992) mereka bercerai. Perkahwinan menghadiahkan zuriat, seorang lelaki diberi nama Muhammad Abdullah Sukarty.

Emilia kini hidup bersama suami ketiganya, Ussama Bin Muhammad Al-Hadar, yang dikahwininya pada tahun 1994. Hasil perkahwinan ketiga, Emilia mempunyai cahayamata keempat, iaitu Kaisar Hadi Haggy Al-Hadar.

Emilia menyatakan sebegitu ketika mendapat tahu bahawa puterinya, Denada (lahir 19 Disember 1978), seorang penyanyi genre rap yang cukup dikenali di Indonesia mengajukan proses penceraian dengan Jerry Aurum, seorang fotographer. Pernikahan (2012) tersebut merupakan perkahwinan beza agama, di mana pada tahun 2015, mereka sah bercerai. Denada juga terkenal sebagai pelakon, selain mengubah genre nyanyiannya dari pop ke rap dan terakhir dang dut. Umpama bunting pelamin, Denada melahirkan seorang puteri pada 11 Disember 2012 setelah menjadi suami isteri pada 15 Februari 2012. Puteri itu diberikan nama Shakira Aurum.

Dua cerita itu, dalam satu keluarga yang membabitkan kisah hampa yang pernah menjadi mercu tanda Emilia Contessa, memberikan banyak pemahaman kita bahawa kisah cinta memang membuatkan manusia bukan sahaja berpenasaran, bahkan mencapai puncak kebahagiaan dalam hidupnya, walaupun pencapaian itu hanya sementara, tidak kekal lama. Kita tahu, manusia adalah makhluk yang berfikir, tetapi, keputusan manusia dalam berfikir juga sangat beragam dan cukup dipengaruhi oleh anekaragam fakta, kadangka fakta itu hanyalah imajinasi.

Kini, sedang hangat diperkatakan mengenai drama bersiri Khilaf Asmara. Drama itu menggantikan Bila Hati Memilih Dia sejak 18 April 2022, sepanjang lima belas episod yang ditayangkan dari Isnin hingga Jumaat setiap jam 10 malam. Bermakna siri itu telah berakhir pada 7 Mei lalu.

Kisahnya berkisar mengenai seorang janda, Wan Su berkahwin dengan seorang duda, Dato’ Amri. Perkahwinan tersebut membuka ruang persahabatan antara Hanim (Fasha Sanda), anak Wan Su dan Irma (Nelydia Senrose), anak Dato Amri hasil perkahwinan sebelumnya. Setelah dewasa, Hanim berkahwin dengan Aizah (Farhin Ahmad), namun tidak disenangi oleh Wan Su kerana datang daripada latar belakang keluarga miskin.

Namun, atas kejujuran dan berjiwa penyayang, perkahwinan mereka cukup bahagia. Namun, kebahagiaan itu sangat relatif, akhirnya Hanim mula mengalami tekanan untuk memahami makna hidup yang lebih mewah dan materialistik. Hanim tidak sepenuhnya memahami bahawa cinta tidak ada maknanya jika tidak disimbahi dengan kemewahan. Akhirnya, Hanim hilang rasa hormatnya kepada Aizad. Aizat menjadi mangsa penghinaan dua darjat.

Hanim menceburi bidang perniagaan dengan bantuan Irma. Setelah merasa pesona kemewahan, hubungan Irma dan Hanim mula berkonflik akibat lahirnya keinginan membolot kekayaan dan perilaku tamak. Hanim sanggup melakukan apa sahaja, termasuk mengkhianati Irma yang membantunya berniaga.

Hanim juga berusaha untuk ‘merampas; suami adiknya, Irma, iaitu Luqman (lakonan Fatah Amin). Mereka sanggup melakukan perselingkuhan, hubungan sulit. Namun, Luqman sebenarnya tidak pernah serius dengan Hanim, hanya sekadar memenuhi gelojak nafsu dan godaan Hanim. Rahsia itu terbongkar, tapi Luqman berazam untuk kembali dan menawan semula hati isterinya, Irma.

Siri akhir menampilkan Aizad mati manakala Hanim menjadi seperti orang gila. Namun, apa yang dapat kita simpulkan daripada siri tersebut ialah dalam kecantikan dan keayuan ada perilaku yang menjengkelkan. Dalam kelembutan bahasa dan penampilan, ada ganasnya. Inilah yang dapat difahami daripada watak Irma, lakonan Nedylia Senrose, perancang kepada semua pemasalahan yang mendasari plot cerita ini.

Inilah yang dikatakan, hati manusia boleh berubah, sikap manusia boleh menjadi ganas dan gasar bila ada sesuatu yang mempengaruhinya, diseliputi oleh keinginan yang membuak- buak, dengki dan tamak bercampur, dendam dan penghinaan bercampur, selain ambisi dan imajinasi.

Begitu juga dalam memahami makna cinta, kerana cinta itu adalah emosi, bukan hadir dalam bentuk fizikal yang boleh belai dan pegang sampai mati. Cinta hadir dalam pertemuan dua keperluan asasi manusia (love needs), kerana pada zahirnya, manusia itu dilahirkan secara berpasang-pasangan, dan fizikal, emosi dan jiwa yang berbeza. Fizikal mencari daya penarik pertama, kerana daripada penampilan fizikal itulah menjadikan karakter seseorang diukur, dinilai dan dirumuskan ada keunikannya. Keunikan itulah yang menjadi daya penarik.

Sebab itu bila kita tanyakan kenapa kamu bercinta dengan A. Ada yang menjawab kerana A mempunyai perwatakan yang lucu, tetapi bukan sinikal, cukup menghiburkan bukan menyakitkan hati. A pandai membawa diri, boleh berkawan dan menerima sesiapa sahaja, sangat rendah diri.

Itu penampilan yang dilihat secara luaran (aksi fizikal). Tetapi, aspek dalaman sangat sukar untuk dilihat, kerana ia cukup tersembunyi. Ia perlu dicungkil, bahkan kadangkala memerlukan sedikit ujian untuk memahami sejauhmanakah kesanggupan, kejujuran, keikhlasan dan kebertanggungjawabannya. Tetapi, jangan diuji secara berlebihan kerana ia bukan sahaja membosankan, bahkan boleh menyebabkan reaksi balas yang cukup keras, kadangkala boleh membilurkan dendam.

Kadangkala, saya cukup menjadi sangat bosan menonton siri Samudera Cinta, yang panjangnya lebih 600 episod. Saya sudah hilang ‘ghairah’ untuk menontonnya, kerana setiap episod cukup muak dengan dengki- khianat dan buli dalam kalangan anggota keluarga sendiri, terutama terhadap Cinta yang merupakan anak Lyla (Meriam Bellina) hasil hubungan sulitnya dengan Rusdi (lakonan Anwar Faudy). Rusdi berkahwin dengan Novi (Debby Cynthia Dewi), dan mempunyai tiga orang anak, Andra (Dude Harlino), Novan (Ben Kasyafani) dan Vina (Angela Gilsha).

Pada suatu malam, Novi tidak dapat tidur dan menyuruh suaminya mematikan televisyen. Sebaik sahaja suis tv tertutup, terdengar suara bayi di luar rumah, mereka akhir mencari dan mendapati Lyla sedang mengendong bayinya, Cinta (Haico van der Veken). Lyla mendesak agar Rusdi membesarkan bayi itu kerana ia adalah darah dagingnya sendiri. Hal ini berlaku kerana apabila tertekan dengan perilaku isterinya, Novi, Rusdi akan pergi ke rumah pelacuran untuk membebaskan tekanan. Pada suatu ketika, Lyla dalam keadaan kurang sihat dipaksa melayani Rusdi, itulah dikatakan penyebab lahirnya Cinta beberapa bulan kemudian.

Rahsia tersebut akhirnya terbongkar, dan pada saat itu, Novi semakin hilang keyakinan kepada suami, dan mula menjadi seorang isteri yang cukup berkuasa, dan dominasi. Kehadiran Cinta, bersama Lyla dalam lingkungan rumah mereka membuat setiap masa ada konflik dan tidak ada masa yang tidak ada rasa dengki dan khianat. Namun, hati kecil Lyla mahukan anaknya membesar sebagai seorang puteri yang cekal, baik hati dan mempunyai masa depan yang lebih baik, bukan seperti dirinya seorang wanita penghibur.

Setelah dewasa, Cinta berkahwin dengan Samudra (lakonan Rangga Azof). Mereka berusaha untuk membina kebahagiaan walaupun sentiasa diuji dengan tohmahan, fitnah, tindakan terancang dan tekanan secara halus, cuba memisahkan puteri tunggal Mentari dengan pelbagai alasan, sampai kini, hubungan antara mereka tetap utuh. Ini tidak bermakna hubungan kasih sayang antara mereka tidak dilanda badai, hubungan itu semakin diperdalamkan makna kasih sayang kerana kededuanya tidak inginkan perpisahan secara paksa atau menyerah kepada ketentuan orang lain. Mereka berhak bahagia dan mereka berhak hidup sebagai pasangan yang berdaya tahan, mampu menghadapi apa sahaja masalah.

Biarpun kadangkala ceritanya cukup menipis persepsi penonton setelah diukur daripada kaca mata akal budi, yang kadangkala sangat semberono. Ada kekuatan semangat dan azam yang tertancap dalam diri masing-masing walaupun sering dikhianati oleh ibu tiri, dan kadangkala Rusdi letih mencari alasan untuk melarutkan kebingungan akibat emos benc isterinya terhadap Cinta.

Saya melihat dua pemain utama – Samudra dan Cinta – cukup cekal dan tabah dalam mengharunginya, walaupun kadangkala terasa keputusan yang mereka ambil cukup dangkal. Inilah manusia, tidak semua keputusan yang dibuat bersandarkan tendesi lojik dan kecukupan faktanya, kerana sangat terpengaruh dengan perasaan dan masukan yang diterima. Itulah liku- liku kehidupan, semakin lama semakin cukup berselindung, terbuka dan menhimpit diri bagaikan ada sembilu yang melekat. Sembilu itu sentiasa mengukir pelbagai bentuk kemusykilan, tanda tanya, dan perlu ditangani secara berhemah agar tidak mengangkut nanah dan menjadi kudis yang sangat menyakitkan.

Ia bukan sekadar kisah cinta dalam episode Sembilu (1994) dan sekuelnya, Sembilu II (1995) yang berjaya digarap dengan baik dan berkesan oleh Yusuf Haslam, dari sebuah filem kemudian menjadi siri drama televisyen (2003). Sembilu juga merupakan tajuk lagu popular Ella (1992), yang dicipta dan lirik oleh Shaari Amri, yang terhimpun dalam album solo, Ella 30110.

Saya cukup terkesan dengan lantunan Ella pada bait: Tak dapat ku bayangkan, Tuturmu bagai sembilu, Mencakar hati ini, Tanpa simpati di hati, Ingin rasanya, Ku laungkan rasa kecewa. Maknanya, kata-kata sang kekasih cukup menyakitkan, tetapi tidak mampu dibuang kerana tertusuk seumpama sembilu. Kata-kata atau perucapan cukup menjadikan kita tergores mahupun menanggung sengsara.

Apa tidaknya? Bahasa merupakan hasil yang dibangunkan oleh manusia sebagai alat komunikasi yang sangat berfungsi, Bahasa pertuturan adalah alat pertama yang kita dengar, mahu dengar. Bahkan ketika anak dilahirkan, kita mendengar suara tangis. Suara tangis itu memberikan kita makna, bahawa bayi yang lahir itu bersuara, tidak bisu dan bila besar nanti boleh berkomunikasi,

Sebagai ibu bapa, kita mengajar anak-anak dengan bahasa yang baik-baik walaupun kadangkala kita terlupa, ada perkataan yang tidak sepatutnya kita luahkan di hadapan anak- anak. Ini kerana anak-anak mengutip dan mengumpulnya sebagai korpus bahasa dan seterusnya sebagai perbendaharaan kata, untuk mewakili sesuatu benda, situasi ataupun mood.

Jadi, jangan rasa kesal bila anak boleh menyindir mahupun menghentak ibu bapa dengan bahasa kasar, atau mengeluarkan reaksi berbalas kata. Persekitaran telah mengsosialisasikan anak-anak, dan tentunya dalam lingkungan keluarga, yang dipercepatkan dengan hadirnya bahasa yang muncul di kaca tv, skrin telefon (youtube) dan macam-macam lagi (Tik Tok, cuplikan video dan sebagainya).

Jadi jangan terkejut. Apa yang patut ibu bapa lakukan, ialah mengajak anak-anak berbicara dengan cara yang paling sopan, tetapi, ibu bapa harus menunjukkan teladan yang boleh mereka serap, bukan menerusi tengkingan, herdikan dan ancaman. Beritahu anak-anak, apa makna sesuatu perkataan itu dengan tepat, dengan intonasi yang menggembirakan, agar suasana mesra muncul.

Itulah juga sepatutnya ibu bapa lakukan jika inginkan anak-anak menjadi seorang yang gemar membaca, bukan gemar melayari media sosial atau youtube. Ibu bapa mesti menunjukkan, masa lapang diisi dengan membaca buku, dan bukannya menambahkan celoteh di media sosial. Tidak salah memuatnaik apa pun yang disukai dalam media sosial, tetapi ia mestilah sesuatu yang boleh membinan sikap positif dan motivasi, seperti nasihat tentang umur, berkongsi petua menjaga kesihatan, bukannya asyik memuat naik gambar selfie, setiap kali keluar rumah, berada di pasar raya mahupun sarapan di restoran.

Kadangkala kita cukup dapat menanggapi makna cinta dan kasih sayang, kerana manusia adalah secara psikologi cukup mengharapkan pujian dan sanjungan. Kerana itu ada gambar- gambar romantik dimuatnaik, kerana ingin menunjukkan nilai keintiman sebagai suami isteri meskipun ia hanya sekadar tempelan. Dalam situasi sebenar, ada percekcokan berlaku sepanjang masa, ada rasa terguris kerana kasih sayang itu sudah sering disalah anggap, disalakfahami oleh kedewasaan fikir dan kejemuan dalam kejenuhan pengalaman.

Saya cukup memahami, sebagaimana perubahan Hanim terhadap kemampuan suaminya, Aizad walaupun dicuba untuk mengekal erti bahagia. Atas kemampuan yang terbatas, kadangkala lelaki sangat tidak menghiraukan perhiasan diri, bahkan boleh sahaja berpakaian yang sama untuk beberapa hari. Berbeza dengan wanita, walaupun sudah berusia dan berpangkat nenek, penampilan dan cara berbusananya cukup kemas, cantik dan tidak sanggup memakai pakaian yang sama berhari-hari, hatta sekadar untuk mengambil cucu di pintu pagar sekolah.

Imajinasinya cukup besar, Terasa malu jika ada yang sedar, pakaian yang sama menghiasi tubuhnya yang sudah lama berbeza dan mengembang ke sisi. Tidak bagi seorang lelaki, bahkan tidak mempunyai baju baru ketika menyambut Syawal pun tidak menjadi masalah, boleh pakai mana-mana baju yang masih boleh dipakai. Apa yang penting, baju itu tidak koyak, pudar warna mahupun sendat seumpama balut cempedak.

Hanim semakin obses denga material, kerana merasakan ia adalah sebuah ukuran kebahagiaan dan kegembiraan, sebuah keputusan yang cukup spekulatif sehingga sanggup berselingkuh dengan suami adiknya, hanya kerana terpesona. Mungkin juga Hanim mencari peluang untuk menghancurkan kebahagiaan adiknya, yang cukup berjaya dalam perniagaan dengan mengkhianati kebahagiaan keluarganya. Itu adalah fenomena biasa dalam siri-siri drama sangat yang sama ada didasarkan dari novel ataupun tidak, jarang kita temui sebuah cerita yang menghargai nilai-nilai keluarga, mencari kekuatan untuk mengukir bahagia dan membentuk keluarga sakinah.

Yang banyaknya kita temui ialah cinta tersalah arah, kadangkala tersalah alamat. Akibatnya, cinta bukan disulam dengan kasih sayang, tetapi diratapi sebagai petaka yang cukup merosakkan psikologi penontonnya.

Secara subliminial, cetusan imajinasi dari drama-drama yang kita tonton akan juga menyebabkan dirinya sedikit sebanyak teruji, teruji oleh kesan yang diserap daripada babak- babak yang pernah kita tonton. Pada mulanya, kita mungkin sedar ia adalah sesuatu yang imajinatif, tetapi imajinasi itulah yang sangat mempengaruhi deria rasa, cerap, tanggap dan perilaku tanpa kita sedar, ianya terpancut keluar seperti paip bocor pada suatu ketika yang lain (tentunya lebih terkemudian daripada kebolehan kita meletakkannya sebagai imajinasi).

Sungguh malang nasib yang menimpa, bukan sahaja wanita akibat dibelasah suami kerana marah, cemburu ataupun geram oleh sesuatu sebab. Lelaki juga menerima nasib yang malang apabila isterinya sendiri cukup cemburu sehingga sanggup memotong kemaluan suami, dan bertindak menurut rasa hati. Ia menjadi lebih tragis apabila dalam konflik, perseteruan dan perbalahan itu berakhir dengan kematian. Salah seorang terbunuh, mungkin akibat campur tangan orang-orang tertentu, termasuk ahli keluarga yang berusaha mempertahankan prinsip yang membawa kepada punca perbalahan.

Dari cinta dan kasih sayang, berubah menjadi cinta yang tersalah alamat dan kasih sayang yang tersilap destinasinya. Robek hatiku, kerana kerobekan itu berlaku tatkala dua hati tidak lagi boleh berlari di atas satu jalan, masing-masing membelok ke persimpangan yang cukup berisiko.

MONOSIN SOBRI.

Written by Admin
Category: Perempuan
Hits: 691
  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

Bacaan Popular


Baca topik

Terkini


TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com