KONTROVERSI AURAT WANITA
Walaupun ada pandangan mazhab lain mengatakan suara dan seluruh badan wanita adalah aurat namun yang jelas mazhab kita Shafie yang menjadi ikutan majoriti umat Islam negara kita ini meletakkan bahawa suara wanita, muka dan tangannya adalah bukan aurat. Dan yang jelas lagi. tidak ada dalil al-Quran serta al-hadis mengatakan bahawa suara dan muka wanita serta tangannya itu aurat sebagaimana sangkaan sesetengah pihak yang banyak melakukan ‘kekejaman’ terhadap kaum wanita sahingga melarang mereka daripada keluar rumah dan berkomunikasi atau bercakap dengan kaum lelaki dan sebagainya.
Apakah mereka sedar bahawa Allah s.w.t membenarkan para sahabat berkomunikasi dan bercakap–cakap dengan mereka (isteri Nabi) di sebalik tirai sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
“Bertanyalah kepada mereka dari belakang tabiryang demikian itu lebih bersih bagi hati kamu dan mereka juga” (Al-Ahzab: 32& 53)
Ini menunjukkan suara itu bukan dikira daripada aurat. Begitu juga Allah s.w.t melarang daripada mendedahkan auratnya (seluruh tubuh) selain daripada muka dan tangannya sahaja, sesuai dengan tafsiran Hibrul Ummah (Sahabat besar Rasulullah, Ibnu Abbas r.a) sendiri, itulah apa yang dimaksudkan dengan firman-Nya yang bermaksud: “... apa yang zahir daripadanya” (An-Nur: 31), iaitu muka dan tangan.
Dalam suatu hadis, Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: “Apabila seorang gadis itu dewasa (sampai umur), maka tidak halal badannya terdedah selain muka dan tangannya sahaja.”
Hakikat ini menggambarkan sebagaimana apa yang berlaku terhadap Asma binti Abu Bakar apabila Asma datang berjumpa Nabi s.a.w dengan pakaian jarang dan nipis. Baginda berpaling daripadanya lalu bersabda yang bermaksud:
“Wahai Asma, seorang wanita apabila sudah baligh, tidak elok lagi badan (tubuhnya) kelihatan selain muka dan tangannya sahaja.” (Riwayat Abu Daud)
Demikian juga kaum wanita itu disuruh melabuhkan (tutupkan) atas lubang tengkuknya sahaja bukan bermaksud tutup atas muka mereka.
Kata Syaikh Yusof al-Qardawi, pendapat Ibnu Abbas lebih kuat dan masyhur pada pandangan jumhur (kebanyakan) ulama, kerana katanya, banyak ayat dan hadis yang mengarahkan kaum lelaki daripada umat Islam menyekat atau menutup pandangan mata mereka, sama juga dengan kaum wanita di suruh merendahkan pandangan mata mereka. Sekiranya muka dan aurat wanita sudah tertutup kemas di depan mereka maka pastilah arahan tersebut menjadi sia-sia dan percuma tanpa sebarang makna dan tujuan.
Menurut pendapat Syeikh Atiyah Saqr, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Universiti Al-Azhar, Mesir dalam koleksi fatwanya Soal Jawab Wanita Islam, terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), bahawa pada prinsipnya suara, muka dan tangan wanita bukanlah termasuk aurat. Sekiranya perkara tersebut memang merupakan aurat, maka sukarlah bagi kaum wanita dan tentunya taklif atau beban syariat yang dikenakan kepada mereka bersifat usr iaitu sangat sukar dan ini bercanggah dengan prinsip agama Islam bahawa Ad-Dinu Yusr, iaitu agama itu mudah, sedangkan kaum wanita juga merupakan 'makhluk sosial' yang berhajat untuk berkomunikasi dengan sesama insan baik ia dari kaum lelaki ataupun kaum perempuan dalam proses kehidupan sosialnya, sedangkan aurat wanita sebenar terletak pada kemerduan dan kelembutan suaranya dan perhiasan yang boleh menggoda kaum lelaki, bukan pada wanita itu sendiri.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki ajnabi) kerana yang demikian menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” (Aal-Ahzab: 32)
Allah s.w.t tidak melarang mereka secara mutlak untuk bercakap dengan kaum lelaki bahkan membolehkan, selama tidak mendatangkan fitnah bagi dirinya dan bagi kaum lelaki itu, Allah s.w.t melarang kaum wanita untuk melembutkan suara dan mendedah kecantikan mereka semasa bercakap dengan kaum lelaki supaya mereka tidak tergoda ataupun terggugah keimanannya dan menimbulkan berahinya.
Dengan demikian, pada prinsip suara, muka dan tangan wanita bukanlah aurat yang dilarang untuk dilihatkan atau didengarkan. Dahulu para sahabat daripada golongan lelaki dan wanita sering bertanya (berdialog) kepada Rasulullah s.a.w tentang masalah-masalah hukum-hakam dalam agama dan didengar oleh kaum lelaki dan wanita yang hadir daripada sahabat-sahabat Baginda. Bahkan sering pula mereka berdialog dengan para sahabat dan sebaliknya sebagaimana di saat ada seorang wanita yang mengkritik Umar r.a. tentang perkara mas kahwin di dalam pertemuan pada suatu majlis yang diadakan di sebuah masjid, di mana dihadiri pula oleh kaum lelaki, sedangkan Umar tidak melarangnya untuk bersuara padahal beliau terkenal tegas dan kuat memegang syariat agama.
Rasulullah s.a.w pernah didatangi seorang wanita yang menawarkan dirinya untuk dikahwini oleh Rasulullah s.a.w dan membiarkan Rasulullah memerhatikan dirinya dari atas ke bawah, tetapi setelah tidak ada sambutan yang memberangsangkan, maka dia pun terus duduk di situ, lalu berkatalah salah seorang daripada kalangan sahabat: “Kahwinkanlah wanita ini dengan saya.” Maka Rasulullah s.a.w terus mengahwinkan wanita tersebut dengan lelaki yang berminat kepadanya itu. Ini semua bukti melihat kepada muka wanita itu adalah harus dan bukan aurat.
Menurut Al-Qurtubi, suara wanita di saat berkata-kata bukanlah termasuk aurat, lelaki dibolehkan bercakap-cakap atau berdialog dengan wanita kerana ada hajat, demikian jugasebaliknya mereka dibolehkan membuka muka dan tangannya kerana tujuan tertentu tetapi wanita tidak dibolehkan memerdukan, melembutkan atau mengindahkan suaranya ketika bercakap dengan lelaki, kerana perkara demikian boleh menimbulkan berahinya dan juga membuat ia tergoda dan suka. Dengan demikian sangat dianjurkan bagi kaum wanita untuk tidak berdialog dengan kaum lelaki yang bukan mahramnya dan juga sebaliknya melainkan kerana ada hajat atau sebab-sebab yang munasabah, kerana suara, muka dan tangan seorang wanita sejak semula jadinya memang lembut dan menarik serta dapat menggoda kaum lelaki, apalagi sekiranya dibuat-buat sehingga menjadi lebih lembut dan menggiurkan.
Dalam ketentuan syariah yang lebih berhati-hati (warak), dimakruhkan kepada kaum wanita untuk meninggikan suara dalam membaca al-Quran, demikian pula tidak disyariatkan 'azan' kecuali untuk jemaah wanita sahaja, bahkan di dalam syariat fikah, apabila seorang wanita ingin menegur kesilapan yang dilakukan oleh imam di dalam solat berjemaah, maka ia tidak boleh menegur dengan membaca 'tasbih' sebagaimana yang dilakukan oleh lelaki, tetapi cukup dengan menepuk tangannya sahaja sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.
Demikian pula wanita tidak disyariatkan untuk membaca bacaan-bacaan dalam sembahyang dengan bacaan yang nyaring pada sembahyang Maghrib, Isyak dan Subuh sebagaimana yang disyariatkan bagi kaum lelaki sewaktu melakukan sembahyang sendirian. Semua ini menunjukkan bahawa wanita mesti menjaga dan berhati-hati terhadap fitnah yang boleh disebabkan oleh suara dan perhiasan mereka, bukan bermakna suaranya dan perhiasan yang zahir merupakan aurat. Di antara yang menggoda lelaki adalah derai tawa (ketawa) seorang wanita di depan mereka, apalagi jenis ketawa yang memberahikan. Demikian pula senyuman diiringi dengan ketawa kecil yang seksi lagi menggoda, inilah yang sangat dilarang oleh agama kerana untuk menjaga harga diri wanita dan juga mencegah daripada timbulnya fitnah. Sama juga membunyikan perhiasan yang tersembunyi di kakinya.
Jika perkara tersebut dikatakan aurat, kenapa Rasulullah s.a.w sendiri pernah mengizinkan isteri baginda melihat pertunjukan dua orang lelaki Habsyi bermain pedang di pekarangan masjid dan mendengar dua wanita bernyanyi di rumahnya.
Ini berdasarkan hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Aisyah r.a, katanya, “Pada suatu hari Rasulullah s.a.w masuk ke tempatku. Ketika itu di sampingku ada dua orang gadis yang sedang mendendangkan nyanyian tentang hari Bu'ats. Ku lihat Rasulullah s.a.w berbaring tetapi dengan memalingkan mukanya. Pada saat itulah Abu Bakar masuk dan ia marah kepadaku'. Katanya, ''Di tempat rumah Nabi ada seruling syaitan?'' Mendengar seruan itu, Nabi s.a.w menghadapkan muka baginda kepada Abu Bakar dan berkata: “Biarkanlah kedua- duanya, hai Abu Bakar.”
Dalam satu peristiwa lain, Rasulullah s.a.w mendengar nyanyian seorang wanita yang bernazar untuk memukul rebana dan bernyanyi di hadapan Rasulullah s.a.w. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Tarmizi, daripada Buraidah, menyebut: ''Suatu hari Rasulullah s.a.w pergi untuk menghadapi suatu peperangan. Setelah baginda pulang dari medan perang, datanglah seorang wanita kulit hitam lalu berkata, ''Ya Rasulullah, aku telah bernazar, iaitu kalau tuan dipulangkan Allah dengan selamat, aku akan menabuh rebana dan bernyanyi di hadapan tuan. Mendengar hal itu, Rasulullah s.a.w. bersabda: ''Jika demikian nazarmu, maka tabuhlah. Tetapi kalau tidak, maka jangan lakukan.”
Kesemua keterangan tersebut menunjukkan bahawa suara wanita dan perhiasan yang zahir daripadanya bukan aurat. Rasulullah s.a.w juga secara praktikal pernah berbicara dengan kaum wanita sepertimana ketika menerima bai'at daripada kaum ibu sebelum dan sesudah hijrah. Bahkan dari segi syarak, baginda tidak pernah menghalang kaum wanita untuk melaksanakan urusan jual beli, menyampaikan ceramah, mengaji al-Quran, membaca qasidah atau syair. Jika suara wanita itu dianggap aurat, sudah tentu dari segi hukum syarak dianggap haram.
Seni bacaan al-Quran adalah termasuk dalam seni Islam yang mempunyai nilai sastera yang tinggi, indah dan juga mempunyai seni bacaannya yang unik. Apakah salah kaum wanita mempelajari dan membacanya kerana selain daripada kandungan kata dan pesan yang ingin disampaikan al-Quran, juga dari segi susunan kata dan kalimatnya yang menyangkut soal nada dan susunannya dapat memukau dan menginsafi sesiapa sahaja yang mendengarnya. Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Muzzammil ayat 4 yang bermaksud: ''Bacalah al-Quran dengan sebaik-baik (Tartil)''.
Imam Bukhari dan Abu Daud juga meriwayatkan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
“Perindahkan al-Quran dengan suara kamu.”
Bukankah semua ini menunjukkan bahawa menyanyikan al-Quran tidak dilarang dan kerana itu menyanyi secara umum pun tidak dilarang kecuali nyanyian itu tidak selari dengan tuntutan Islam. Sebagai seni Islam, satu ciri yang dianggap positif ialah ia tidak berkisar di sekitar manusia individu, ia mempunyai orientasi sosial dan terpancarnya keperluan bersama manusia.
Oleh hal yang demikian, kita seharusnya tidak menyempitkan pemikiran kita apabila berbicara mengenai aurat wanita. Keterangan ayat al-Quran dan hadis, ditambah dengan kisah-kisah yang dapat dijadikan teladan pada zaman Rasulullah s.a.w dahulu seharusnya membuka mata fikir kita untuk tidak terus ‘menzalimi dan menghukumi’ wanita secara sewenang-wenangnya.
Oleh : Mohd Shauki Abd Majid