Ensiklopedia

Keterangan ringkas & tepat mengenai pelbagai ilmu!

 

PN DILANDA DOMINO; AKHIRNYA MUNGKIN TINGGAL KENANGAN

Kesan krisis politik Perlis, PAS awalnya dianggap kecil, yakni kesan hanya terhad di negeri paling utara, rupa-rupanya sudah menjangkit ke selatan dan tengah. Ia bukan kisah kejatuhan sebuah kerajaan gabungan seperti Perlis, tetapi bakal menjadikan Perikatan Nasional "bersepai".

Awalnya, hanya dilihat Bersatu bakal "bersepai" apabila muncul krisis dalaman tentang perubahan pucuk pimpinan yang dituntut. Kini ia merebak kepada isu siapakah yang akan memimpin PN setelah Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN yang diasaskannya sejak 7 Ogos 2020 bersama Presiden PAS.

Azmin Ali, yang merupakan 'orang kuat' Muhyiddin yang muncul sebagai "Hulk" ketika menjatuhkan PH dalam Langkah Sheraton kini bergemalai lemah dengan ikut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN dan Pengerusi PN Selangor.. Begitu juga dengan Dr Saharuddin Jamal, ADUN Bukit Kepong ikut mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN Johor selepas dua hari Bukit Kepong dilanda gempa bumi lemah (3.2 magnitud).

Terbaharu, bekas MB Perak, Faizal Azumu yang pernah dikaitkan dengan ijazah palsu (kemudian dijelaskan tidak tamat pengajian daripada Edith Cowan University) meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN Perak. Pengerusi PN Negeri Sembilan, Muhamad Hanifah Abu Baker turut mengambil keputusan meletakkan jawatan.

Setelah ini, peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN negeri berlaku dalam kalangan "orang kepercayaan Muhyiddin" manakala beberapa orang pro Hamzah belum menunjukkan pendirian yang sama dengan Muhyiddin. Ertinya, satu bentuk pemetaan baharu sedang dilukis, namun bentuknya mungkin akan muncul dalam masa terdekat, atau terus lenyap dalam persada gagasan pembangkang. Ia mungkin ada satu lagi gagasan parti pembangkang yang baharu, sama ada untuk menggantikan PN sebagaimana pernah dikatakan "payung besar".

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS berkata, PAS sedia terajui Perikatan Nasional. Tentunya, jika PN dikuasai oleh PAS, Bersatu terpaksa menerima hakikat yang cukup pahit, akur lebih banyak dengan PAS yang cukup dikenali "suka tikam kawan". Sejarahnya cukup panjang, bermula daripada penyatuan dengan BN hinggalah PN. Semasa Pakatan Rakyat, PAS terpaksa "mengalah" dengan DAP kerana sikap dan kehendak DAP tidak mampu ditahan oleh PAS..

Tahun baharu (2026) akhirnya terpaksa dilalui dengan "jiwa lemah" para pengasas PN, yang mungkin juga akan membawa kepada "pemusnahan" jika tidak dapat ditangani dengan betul. PN kalaupun terus ingin mengepak sayap di langit politik, mungkin akan dikuasai oleh PAS, yang selalu "malu-malu alah" kerana menghormati Bersatu.

Kita tahu, PN dilanda petunjuk "berlumpur" apabila MB Terengganu meletakkan jawatan sebagai Bendahari PN, dan kemudian, Shahidan Kassim menerajui PN Perlis dan Shaifudin Abdullah digugurkan di Pahang. Lumpur-lumpur itulah akhirnya merefleksikan PN boleh jadi "terburai" walaupun Ketua Pemuda PAS memberikan natijah, parti itu tidak "gila jawatan", sedia berkorban atas prinsip setiakawan dan menolong kawan-kawan dengan penuh erti seorang kawan: berkempen siang dan malam, menyusun jentera tanpa minta imbuhan, merelakan diri sebagai sukarelawan walaupun calon parti sendiri tidak mengambil bahagian. Contohnya, PRK Nenggiri. Bukan sahaja wang ringgit, keringat bahkan korbankan seorang "calon terbaik” untuk mewakili Bersatu. Biarpun kalah, ia adalah satu pengorbanan yang besar - jiwa dan raga - atas prinsip setia kawan sejati.

Namun pengorbanan itu tidak mencukupi untuk menggambarkan kesetiaan apabila wakil rakyat Bersatu mengambil tindakan menarik sokongan kepada MB Perlis dan akhirnya ADUN Bersatu yang diperkenan oleh Tuanku Raja Perlis. Apa yang mendukacitakan ialah sikap PAS yang semakin memperlihatkan kesombongan kerana tidak menerima sebarang pelantikan jawatan EXCO. Setiausaha Agung PAS sudah pun mengeluarkan kenyataan agar EXCO dari PAS yang masih memegang jawatan masing-masing segera meletakkan jawatan sebagai bentuk solidariti parti, bukan PN.

Petunjuk-petunjuk tersebut memberikan kita gambaran bahawa PN bakal berhadapan situasi "pecah" dan jika masih mahu dipertahankan, ia membawa makna mungkin akan terus diterajui oleh Bersatu, tetapi tidak disertai oleh PAS. Atau sebaliknya, PAS yang mendominasi PN dengan barisan kepimpinan baharu yang mahukan gelombang pembangkang akan terus bersahabat. Akan berlaku desakan yang lebih keras ke atas Muhyiddin untuk meletakkan jawatan dalam parti yang diasaskannya pada tahun 2017 bersama Dr Mahathir dan Mukhriz.

Dr Mahathir dan Mukhriz sudah dipecat oleh Muhyiddin pada Mei 2020 bersama-sama Syed Saddiq, Dr Mazlee Malik dan Amirudin Hamzah. Mazlee kemudiannya menyertai PKR manakala Syed Saddiq menubuhkan parti baharu, Malaysia United Democratic Alliance (MUDA) manakala Dr Mahathir dan Mukhriz menubuhkan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang). PRU 15, semua calon Pejuang tewas dan beberapa di antaranya hilang deposit, misalnya, Dr Mahathir dan Mukhriz. Syed Saddiq kekal sebagai wakil rakyat apabila menang di Parlimen Muar, namun meletakkan jawatan dalam parti apabila dirinya dikaitkan dengan salah guna akaun parti semasa mengetuai Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada).

Jika dilihat daripada kenyataan Ketua Penerangan PAS yang "menyambut tangan" Ketua Pergerakan Pemuda UMNO agar dihidupkan semula Muafakat Nasional, ia jelas bahawa parti itu "memerlukan kawan baru" walaupun sebenarnya bukanlah "kawan baru". PAS bersedia untuk bekerjasama semula dengan UMNO kerana PAS cekap membaca isyarat, Bersatu bakal kecundang pada PRU 16 sekiranya tidak bersama PAS. Kalaupun masih bersama, Bersatu tidaklah segagah sebelum PRU 15, kerana Bersatu sudah tidak dapat diperbaiki lagi "chamber" politiknya, kecuali Muhyiddin melepaskan jawatan dan menyerahkan baton kepada Hamzah Zainudin.

Saya bertanya, tetapi saya tidak ada jawapan: Apakah Perikatan Nasional akan tinggal namanya. Hanya muncul sebagai kenangan dalam memori politik Malaysia sebagaimana memori rakyat Malaysia tentang "emosi terkepung" selama hampir dua tahun di bawah kendalian Muhyiddin - daripada PKP ke Darurat dan seterusnya, jatuh katil akibat tidak cukup majoriti- takut untuk undi percaya kepada Perdana Menteri ke-8.

Angka lapan jadi angka yang cukup menyeksakan Muhyiddin, dan itulah sebabnya, nak jadi PM sekali lagi sebagai tindakan pembetulan. Angka lapan itulah juga yang menggerunkan PAS setelah menjaring gol sendiri di Perlis, yang ada lima kerusi dipilih sebagai MB Perlis ke-12. PAS yang tinggal enam kerusi, nampaknya menggigit jari, dan akhirnya membuat reaksi, tidak menyertai kabinet negeri yang diterajui Abu Bakar Hamzah daripada Bersatu, tetapi bersedia memimpin Perikatan Nasional kerana Muhyiddin sudah bertekad mengundurkan diri.

Sekurang-kurangnya ada empat kekosongan di peringkat negeri sebagai pengerusi PN dan dua jawatan tertinggi, Presiden dan Setiausaha PN yang akan diisi, yang sebahagiannya akan diberikan kepada PAS. Perpecahan itu akan membawa kilasan politik yang sangat menyakitkan, atau mungkin "payung besar" tidak sempat berkembang sebelum PRU ke-16.

Anwar Ibrahim sudah pun melihat, keterikatan kerjasama dalam Kerajaan Madani adalah lebih baik daripada PN. Sebabnya, belum ada "tebuk atap di rumah sendiri", tetapi bekas pemimpin DAP, P Ramasamy melihat ianya tidak akan kekal sekiranya Muafakat Nasional berjaya dihidupkan semula. Namun, apakah Muafakat Nasional akan mengambil kira parti-parti serpihan yang muncul selepas berhasrat bergabung dalam PN? Apakah pendirian MIC ketika itu setelah ianya dikatakan sedang pertimbangkan untuk sertai PN. Apakah akan ada fenomena yang dikejar bertabrakan dan yang dikendung tercicir bersama ilusi sendiri?.

Akhirnya, apakah MIC akan kembali berpada-pada dengan BN atau mencari kawan baharu yang lain; dan tentunya, ranjau akan menjadi lebih berliku sekiranya berusaha "berpindah ke dahan" yang lain. Apakah reaksi terbaharu pemimpin MIC yang sudah menunjukkan akan "berhijrah" ke kubu PN dan MCA yang juga ada cadangan keluar BN? Apakah MIC dan MCA bersedia dalam PN yang bakal diterajui oleh PAS?

Semuanya itu akan menjadi tema yang akan terus dibincangkan pada tahun 2026 nanti. Sama ada kekal dalam BN atau bergandingan tangan dengan PN, ia adalah satu keputusan strategik yang perlukan pertimbangan baharu, pertimbangan kesanggupan berada di bawah dominasi PAS yang pernah menyifat, haram bekerjasama dengan "bukan Islam" dan mengambil orang bukan Islam sebagai pembantu. Doktrin yang semakin menjerat walaupun PAS akan berusaha mendefinisikan semula budaya politiknya, hanya kerana kuasa.

KAMARUN KH

Written by Admin
Category: Semasa
Hits: 266
  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

Bacaan Popular


Baca topik

Terkini


TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com