DILEMA BERSATU ATAU DILEMA MUHYIDDIN?
Bersatu sudah membuat keputusan, keputusan yang dilihat akan menjadikan parti itu benar-benar bersepai. Bukan sekali, dah banyak kali. Akhirnya, Bersatu akan jadi benar-benar parti Muhyiddin Yassin, bukan parti atas kapasiti sebuah pertubuhan politik yang berpengaruh kerana aktiviti dan gerakan aktivisnya.
Pengalaman yang sedang dialami Bersatu, pernah dialami oleh PKR sehingga ada yang mendakwa, PKR adalah parti yang berasaskan keluarga dan kroni. Apa tidaknya, demokrasi dalam parti tersekat, oleh alasan untuk memperkukuhkan parti, dan membuang buah busuk, sama ada secara organik, hibrid mahupun melalui proses cantasan.
Setelah itu, PKR tersimbah dengan kejutan besar apabila berlakunya "pengkhianatan", mereka semakin tidak sehaluan dengan Anwar Ibrahim. Anwar Ibrahim yang disebut-sebut sebagai calon pengganti, kerana Tun Mahathir adalah "perdana menteri sementara", mengambil tindakan yang cukup bahaya.
Mereka bersengkongkol menjatuhkan Dr Mahathir, kerana khuatir, Dr Mahathir akan tunduk kepada desakan Otai Reformasi. Maka, berlakulah Langkah Sheraton. Namun, PKR terus bangkit kerana sokongan dua parti yang bergabung cukup kuat. Ia menjadi peneraju dalam Kerajaan Madani, walaupun terpaksa bekerjasama untuk membentuk kerajaan. Ia berbeza dengan PAS walaupun gagal berada dalam kerajaan campuran bersama Bersatu, kedudukannya tidak lagi dianggap mampu dasar politiknya kurang menarik sokongan parti-parti untuk bergabung, terutama parti pelbagai kaum dan parti-parti yang diasaskan oleh bukan Melayu.
Muhyiddin pernah melancarkan serangan untuk menjatuhkan Najib. Tetapi, Muhyiddin tidak berjaya kerana kedudukan Najib ketika itu "cukup kuat", maka "pengkhianat-pengkhianat" itu dipecat, digantung keahlian dalam parti serta disisihkan dalam barisan kabinet. Namun, walaupun. Muhyiddin pernah diangkat menjadi PM selama 17 bulan, ia tidak dilihat cukup berkesan membentuk legasi dalam kalangan masyarakat Malaysia. Muhyiddin terus terperangkap dalam sindrom "kawalan dan ketakutan" setelah "mengunci pintu terhadap kemunculan isu undi percaya".
Ketika isu itu meraih gempita masyarakat, Muhyiddin terus mengunci diri dengan tindakan mendapatkan kuasa darurat. Setelah kuasa darurat disalahkan, Muhyiddin berundur tetapi sedang tersadung dengan skandal Jana Wibawa. Jana Wibawa yang bertujuan membantu kontraktor Bumiputera yang terkesan oleh pandemik COVID-19, sayangnya dalam pengagihan projek ada "sorong tarik" oleh orang tengah atas alasan, mengutip dana parti.
Sebab itulah pada suatu ketika, Bersatu dilihat cukup kaya dan mewah berbelanja. Muhyiddin sedang berhadapan dengan "kemasukan besar" dana parti, walaupun beliau menganggap "tidak salah" sebab "tidak ambil satu sen pun" atau "masuk ke akaun sendiri." PAS pun dikatakan banyak bergantung sumber kewangan Bersatu (PRU 14), walaupun dinafikan. PRU 15, Bersatu berhadapan dengan masalah kewangan kerana akaun parti dibekukan.
Bagaimanapun, ada yang mendakwa, Bersatu sudah berjaya menggantikan UMNO dan sedang berusaha untuk menumbangkan PH. Dakwaan itu adalah ilusi yang tidak berasas, walaupun keputusan PRU 15, kerusi yang dimenangi Bersatu lebih besar daripada UMNO, ia sudah berubah menjadi sebuah parti kerdil. Biarpun masih ada kekuatan di beberapa buah negeri, ia belum memberikan jawapan yang pasti wakil rakyat Bersatu akan kekal untuk PRU ke-15, dalam situasi parti yang bercelaru akibat krisis dalam kandang sendiri.
Kalau nak harapkan sokongan PAS kali ini, ia dilihat cukup sukar kerana PAS berusaha mengelakkan sayapnya, kerana PAS sedang membuat perancangan untuk meraih kejayaan lebih besar. PAS sudah pun menyatakan, mungkin menambahkan dua buah negeri lagi, iaitu Pahang dan Perak (di peringkat DUN). Di peringkat Parlimen mungkin kepada 60 kerusi, yakni bertambah sebanyak 17.
Malang juga bagi PAS, ketika mempunyai kerusi terbanyak di peringkat Parlimen, tidak menjadi sebahagian daripada kerajaan. Sedangkan, ketika mempunyai 18 kerusi berada dalam kerajaan, kata Rombakan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man , "macam nak kiamat." Itu adalah sindiran kepada DAP, tetapi kini, ia dipulangkan kepada PAS kata-kata tersebut. Apakah itu suatu "sumpahan" atau "hanya suatu lelucon?".
Yang paling mengecewakan rakyat ialah sikap Muhyiddin yang tidak berusaha untuk "meminta" menantunya pulang bagi membela diri atas kesalahan "salah guna wang" projek pendaftaran kemasukan dan daya pekerja asing. Setakat ini belum ada sebarang pendakwaan terhadap menantunya, Muhamad Adlan Berhan.
Hingga kini, SPRM sudah mengemukakan notis untuk mendapat kerjasama antarabangsa bagi ekstradisi menantunya. Muhyiddin seolah-olah "buat tak tahu" dan menurut laporan media, menantunya hidup mewah di sebuah negara Timur tengah. Ramai yang mempersoalkan sikap dan pendirian Muhyiddin, yang sepatutnya boleh membantu negara dalam menyelesaikan kemelut terbabit.
Begitu juga apa yang sudah dan sedang berlaku dalam Bersatu. Bersatu, ketika keputusan PRU ke-15 diumumkan, mempunyai jumlah yang lebih besar daripada UMNO/BN, tetapi kini, ia jauh lebih kecil berbanding UMNO/BN. Ahli Parlimennya, digantung dan dipecat, dan sebelumnya, ada yang isytihar menyebelahi PMX walaupun tidak secara terbuka menolak kepimpinan Muhyiddin.
Bersatu, ketika di puncak kuasa cukup berghairah untuk menamatkan penguasaan Warisan di Sabah, lalu berlangsunglah PRN apabila mendapat khabar, bekas KM dari UMNO/BN sedang menyusun strategi merampas semula kuasanya yang hilang. Hasrat itu tercapai, tetapi tidak kekal lama kerana wakil rakyat Bersatu menubuhkan gabungan antara parti politik Sabah (GRS), kesan daripada kejayaan rakan-rakannya di Sarawak membentuk GPS. GPS berjaya menguasai politik Sarawak dan menjadi semakin dominan sehingga DAP yang dianggap lawan yang besar, hampir tumbang. DAP tewas di beberapa konstituensi yang dianggapnya sebagai kubu.
GPS juga mencapai keputusan cemerlang apabila DAP terpaksa "menangis" akan nasibnya di Sabah. Kawasan-kawasan yang menjadi sandaran dan kadangkala "angkuh dengan prestasi", ikut tersungkur. Ertinya, untuk Sabah dan Sarawak, percubaan untuk parti-parti yang berasal dari Semenanjung semakin sukar, dan proses untuk "sembuh dari luka" itu bukan sesuatu yang mudah atau boleh dipulihkan menerusi "jampi dan sihir" lagi. DAP perlukan kaedah yang boleh dianggap mistik jika mahu kembali cemerlang di Sabah dan Sarawak.
Tetapi, DAP mempunyai prestasi yang semakin meningkat di Semenanjung. Bahkan dalam PRU ke-15, secara tunggalnya, DAP mempunyai kerusi yang terbanyak di peringkat Dewan Rakyat, dan PAS menduduki tangga kedua. DAP sekali lagi menjadi sebahagian barisan kabinet pusat, selain kekal sebagai penguasa Pulau Pinang, dan mengukuh di Pahang.
Setelah lebih tiga tahun berlalu, Bersatu yang muncul sebagai serpihan UMNO dan kemudian "berkahwin" dengan ahli PKR yang hilang keahlian, berusaha untuk menggantikan UMNO. Dalam usaha itu, mereka melakukan banyak hal yang seiras UMNO lakukan, tetapi, belum mampu untuk "menghabiskan UMNO".
Namun, dalam PRU ke-16 nanti, ada yang meramalkan Bersatu akan "pupus" kerana ketiadaan penggeraknya yang berpengaruh. Ia akan menjadi "kesan yang berputar" apabila memecat keahlian atau menggantung keahlian wakil rakyatnya. Sedikit sebanyak mereka akan sedia kembali kepada UMNO/BN dan mungkin juga menyertai PAS sekiranya, kepimpinan UMNO dilihat kurang menyengat.
UMNO mula membuka semula kepada ahli-ahlinya untuk kembali, kerana UMNO mungkin percaya, kekalahan pada PRU 15 adalah kerana beberasnya orang yang berpengaruh dicantas. Khairy Jamaludin misalnya, tidak diberikan tempat pada peringkat awal sehinggalah Khairy menemui tempatnya di Sungai Buloh. Biarpun Khairy kalah, pengaruh dan imejnya cukup besar terutama dalam kalangan pengundi muda yang sudahpun tidak lagi muda. Mereka yang pernah dibawah pimpinannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Kemasukan semula KJ membuka sedikit sebanyak harapan, dan juga melunturkan sedikit sebanyak semangat Bersatu untuk menang dalam PRU akan datang. Biarpun begitu, KJ perlu mencari kawasan boleh menang, dan bersiap sedia dari sekarang. Kembali ke Rembau tidak mungkin, kecualilah Mohd Hasan yakin boleh menang di kawasan lain. Budaya politik UMNO cukup berbeza, ahlinya seboleh-bolehnya mahu calon tempatan. Ia tidak berlaku dalam DAP, PAS mahupun Bersatu. Mungkin pada PRU akan datang, sebahagian kawasan boleh menerima "calon luar" daripada UMNO.
Apabila UMNO/BN bercakap untuk kembali solo, Muhyiddin mungkin sedikit terketar-ketar kerana strategi itu berjaya mengekalkan kedudukannya di Johor ketika PRN Johor. Juga, dalam PRN Melaka, UMNO/BN berjaya menghapuskan stigma politik yang dibawa oleh PN, dan ingin menokhtahkan kesombongan Muhyiddin daripada menekan butang. Muhyiddin sekarang dilihat sebagai "orang tua" yang masih bernafsu, tetapi tidak ada kudrat untuk menguruskan parti. Akibatnya, mereka yang menilai sedemikian telah digantung keahlian dan juga dipecat.
Menarik bila mendengar komen wakil rakyat Ketereh, Khlir bahawa dirinya menang bukan atas jenama Bersatu, tetapi atas tiket PAS. Tentunya, wakil rakyat Bersatu yang lain juga boleh berkata begitu, kerana di Kalangan mereka menggunakan logo PAS bukan PN atau Bersatu. Wan Ahmad Faysal mungkin menggunakan bingkai yang sama. Setakat ibu belum ada kenyataan sebegitu daripada Wan Ahmad Faisyal yang kalah dalam pemilihan Ketua Bahagian Machang.
Wan Ahmad Faysal berada dalam kem Hamzah Zainudin. Hamzah Zainudin dikatakan sedang bersiap sedia untuk menubuhkan sebuah parti baharu, dan ini akan menjadi pencabar baharu bagi Bersatu. Parti yang akan ditubuhkan oleh Hamzah mungkin tidak akan mencabar PAS, kerana ada petunjuk akan terus bekerjasama bagi memperkukuhkan PN yang dikuasai oleh PAS. Kepimpinan ON sudah berganti, tetapi, Muhyiddin masih bermimpi akan dapat menggerakkan ON menurut acuan politiknya.
UMNO pula sedang berangan-angan untuk mendirikan Rumah Bangsa walaupun belum diketahui tiangnya diperbuat daripada apa: kayu keras atau kayu kampong ataupun konkrit. Rumah Bangsa sebagai jawapan kepada usaha PAS dan Dr Mahathir untuk membuka "Payung Besar" yang agak senyap ketika ini. Secara psikologinya, UMNO dan PAS sedang "berperang": bertelagah tentang sifat dan bentuknya. Presiden UMNO kata, Rumah Bangsa mungkin tidak dibina bersama PAS kerana parti itu telah banyak membuat angkara, atau khianat. Presiden PAS pula berkata, UMNO dijangkiti oleh penyakit was-was, bagi menggambarkan budaya politik yang "tidak sihat", atau bercelaru.
Namun, dari segi sejarahnya, PAS boleh ditafsirkan sebagai sebuah parti yang cukup tidak setia bila bekerjasama. Kerjasamanya akrab bila kepentingan politiknya "dipenuhi" ataupun dalan situasi "tidak kuat". Jika kedudukannya kuat, banyak hak yang dia mahu diberikan ruang. Inilah yang berlaku dalam PN, yang akhirnya membawa kepada kemelut panjang.
Ketika bersama BN, PAS turut melakukan "pengkhianatan" dengan cuba memecahkan "kubu pengaruh UMNO". Hubungan kerjasama itu tidak lama (1974-1977). Dalam Pakatan Rakyat turut dilihat ada retakan yang jelas, kerana PAS muka merasakan kedudukannya sebagai alternatif parti Melayu lebih menguntungkan DAP. Ini kerana prestasi DAP cukup cemerlang dalam dua PRU (12 dan 13): menang di kawasan-kawasan majoriti Melayu atau Melayu sebagai kuasa penentu, yang ada sedikit sebanyak pengaruh PAS.
Ini kerana PAS memberi sokongan padu, bukan sekadar "sokongan biasa" bahkan ikut mengangkat bendera DAP; muslimatnya dan juga kelompok muda, selain yang tua berbaring di jalan sambil memegang bendera roket. Pemimpinnya pula mendakwa, DAP sudah "memahami Islam" berkat "politik dakwah".
Tidak lama kemudian, muncul dakwaan bahawa tahaluf siyasi ditamatkan atas alasan, DAP mahu bertindak sebagai "abang long". Nampak jelas, kegagalan tetapi ingin ditutup dengan menyerang kerjasama UMNO-DAP, walhal secara jelasnya, kerjasama itu adalah dengan PH. Sekarang mereka meratib UMDAP tetapi tidak berjaya apa-apa bila didedahkan PAS DAP yang terjalin antara 2007 hingga 2014 sebelum bercerai. Banyak gambar yang didedahkan, tidak dapat dikilas secara jelas oleh aktivis PAS.
Dalam situasi yang kian "tidak sehaluan" itu menampakkan bahawa PAS pada PRU akan datang kehilangan kawan. Bersatu pula semakin besar dilemanya kerana selagi dipimpin oleh Muhyiddin akan terus dilihat tidak relevan. Dalam keadaan "sakit-sakitan" itulah Bersatu bakal runtuh dengan sendirinya.
Ini membawa maksud Bersatu bukan sahaja gagal untuk "menarik sokongan ahli dan bekas ahli UMNO", juga gagal menyuntik stamina untuk terus kekal sebagai parti yang berpengaruh. Muhyiddin wajib menerima hakikat itu, kalau beliau benar-benar sayangkan parti yang telah diasaskannya, dengan tidak terus mengekalkan ilusi politiknya. Berikan kepimpinan parti kepada orang lain yang cergas dan dinamik. Kalau masih bercadang untuk bersama parti, terimalah jawatan sebagai penasihat.
Semua orang tertingu-tunggu kerana pernah isytiharkan bahawa semasa kempen PRU 15, berilah saya peluang terakhir untuk dirinya. Namun, peluang itu tidak menjadi kenyataan, kerana PN gagal dan impian untuk kembali sebagai PM berkecai. Jadi, untuk kali ini, harapan yang sama akan menjadi semakin tipis, kerana Bersatu dalam keadaan "tidak cukup nafas" untuk berlari.
Mereka yang sudah digantung atau dipecat, enggan membuat sebarang rayuan. Mereka mungkin sedang menanti pengumuman Hamzah Zainudin tentang parti baharu. Sayangnya, bukan itu sahaja yang berlaku, ada juga aktivis di peringkat tertentu membuat kenyataan keluar parti. Maka, kalaupun parti terus mahu mengambil bahagian dalam PRU 16, calon-calonnya bukan lagi dalam kalangan yang berpengaruh, mungkin akan ada calon "tangkap muat' seperti yang berlaku dalam PKR pada peringkat awal penyertaan dalam PRU.
Calon tidak berkualiti, dan bila dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri kekal dengan budaya pembangkang. Kita menyedari suasana itu, bukan sahaja berkembangnya "political bashing" dengan parti lawan, bahkan tidak ada keserasian dalam barisan kabinet.
Sekarang semua orang tahu, Bersatu dan Muhyiddin sedang mendepa dalam kontot; bukan sahaja 'tangan tak sampai untuk memeluk gunung", gunung yang hendak dipeluknya juga meletus. Lava yang panas terus mengalir, debu yang menyesakkan pernafasan bertebaran dalam udara politik Malaysia.
Kejernihan semangat dan perjuangan sudah dianggap terlalu keruh, tidak dapat dipulihkan selagi Muhyiddin terus kekal menerajui Bersatu. Biarpun ada hulubalang yang nampak hebat, mereka semuanya sudah hilang arah, tetapi muncul dalam keadaan tidak mahu dianggap "berpatah arang", kerana arangnya masih tebal tercalit dalam emosi "malu" kembali ke pangkal jalan.
KAMARUN KH