Ensiklopedia

Keterangan ringkas & tepat mengenai pelbagai ilmu!

Penguasaan ilmu pengetahuan merupakan salah satu daripada prinsip asas Islam  bertujuan untuk menjadi ummah yang memiliki kekuatan ilmu pengetahuan dan kecemerlangan intelektual.  Di dalam al-Quran sendiri jelas menunjukkan bahawa ilmu merupakan keistimewaan yang menjadikan manusia itu lebih unggul daripada makhluk-makhluk lain dalam menjalani fungsi kekhalifahan. Manusia menurut al-Quran memiliki potensi untuk meraih ilmu dan mengembangkannya dengan izin Allah s.w.t. Berkali-kali pula al-Quran menunjukkan betapa tingginya darjat orang yang berpengetahuan.

Perintah penggunaan akal sebagai dasar kerasionalan ilmu dengan perintah untuk mengamati keadaan alam menjadi landasan empirik ilmu yang sering beriringan antara satu sama lain. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud; “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan langit dan bumi dan berlainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar tanda bagi orang yang mengetahui”. (Maksud AlQuran surah ar-Rum: 22).

Perintah al-Quran itu kemudiannya diperkuatkan oleh hadis-hadis Nabi yang mewajibkan umat Islam untuk menuntut ilmu. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; Menuntut ilmu itu wajib bagi kaum lelaki dan perempuan (riwayat Bukhari dan Muslim), Tuntutlah ilmu dari ayunan buaian hingga ke liang lahad, (riwayat Bukhari) dan Pelajarilah ilmu walaupun sehingga ke negeri China (riwayat Bukhari dan Muslim).

Rasulullah juga bangkit di tengah-tengah kaumnya serta menganjurkan mereka agar terus menuntut ilmu yang pada hakikatnya akan menjadi kayu ukur peradaban dan kemajuan. Seperti apa yang diungkapkan hadis ketiga di atas, maka Rasulullah melihat ilmu itu bersifat universal, maka baginda pun menanam semangat kepada umat Islam untuk sentiasa berusaha dalam menuntut ilmu.

Lebih jauh lagi Islam telah menempatkan kedudukan ilmu pada tingkat yang lebih tinggi seperti sabda Rasulullah yang bermaksud; Manusia yang mulia adalah seorang mukmin yang berilmu (hadis riwayat bukhari).

Dalam hal ini kita dapat mengambil pelajaran, sekali gus memperoleh contoh yang menarik, iaitu ``persaingan'' antara Adam dengan malaikat yang pada akhirnya Adam dinobatkan sebagai pemenang kerana ilmunya. Dan dengan ilmu itulah juga, maka Allah memerintahkan malaikat untuk bersujud kepada Adam (surah al-Baqarah: 31-34). Persaingan yang dimenangi oleh Adam kerana berilmu ini didahului dengan pemberitahuan Allah kepada malaikat untuk menjadikan seorang khalifah di atas muka bumi.

Namun malaikat membantah dan menonjolkan dirinya sebagai makhluk Allah yang lebih suci, sebagaimana yang disebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud; Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.

Mereka berkata; Mengapa Engkau hendak menjadikan khalifah di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan menyucikan Engkau?

Allah berfirman lagi yang bermaksud; sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui. Lalu malaikat dimalukan oleh Adam dengan ilmunya itu, sebagaimana disebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 31-34 yang bermaksud; Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama benda seluruhnya, kemudian mengemukakan kepada malaikat, lalu berfirman; Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang orang-orang yang benar! Lalu malaikat menjawab; Maha Suci Engkau. Tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang Engkau ajarkan pada kami. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah berfirman yang bermaksud; Hai Adam, beritahukanlah kepada malaikat nama benda-benda itu, Allah berfirman; Bukankah sudah Kukatakan kepadamu bahawa sesungguhnya Aku mengetahui rahsia di langit dan di bumi dan mengetahui apa yang kamu nampakkan dan apa yang kamu sembunyikan? Dan ingatlah ketika Kami berfirman kepada malaikat; sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis, ia enggan dan takbur, ia termasuk mereka yang kafir.

Pengetahuan ilmu yang diperoleh oleh Adam daripada Allah telah memunculkan kekuatan yang luar biasa untuk mengalahkan malaikat. Dengan kata lain, kekuatan Adam adalah dengan keunggulan ilmu yang dimilikinya itu. Ini bererti Adam merupakan susuk peribadi yang lebih unggul daripada malaikat.

Dalam konteks persaingan antara Adam dengan malaikat ini dan apa yang lebih menarik lagi untuk kita renungkan adalah bahawa peristiwa ini semuanya didahului dengan pernyataan Allah bahawa bumi dan seisinya ini diciptakan Allah untuk manusia. Huwa al-ladzi khalaqa lakum ma fi al-ardh jamian (al-Baqarah: 29). Ini seiring dengan ayat lain yang menegaskan bahawa bumi diciptakan untuk dimakmurkan oleh manusia. Huwa ansya'akum min al-ardh wa ista'marakum fiha (Hud: 61). Kedua-dua ayat ini memberi penjelasan kepada kita tentang posisi dan peranan manusia terhadap dunia serta seisinya yang kemudiannya dimakmurkan demi kepentingan dan keperluan umat manusia itu sendiri, dalam konteks ibadah secara umum.

Sesuai dengan peranan manusia terhadap alam dan seisinya, telah ditegaskan bahawa Allah telah memberi Daud dan Sulaiman akan ilmu yang mereka itu lebih mulia daripada yang lain, sebagaimana firman Allah dalam surah al-Nam ayat 27 yang bermaksud; dan sesungguhnya Kami telah memberi ilmu kepada Daud dan Sulaiman, dan keduanya mengucapkan; segala puji bagi Allah yang melebihkan kami dari kebanyakan hamba-hamba-Nya yang beriman. Ayat ini secara langsung menegaskan bahawa ilmu merupakan alat yang menjadikan martabat Daud dan Sulaiman lebih utama daripada yang lain. Ini benar-benar menjadi bukti bahawa ilmu adalah kekuatan, juga kekuasaan. Ini bererti bahawa kemampuan ilmu itu berupaya mengangkat manusia pada kedudukan lebih tinggi daripada mereka yang rendah ilmunya, apatah lagi mereka yang tidak memiliki ilmu. Seiring dengan ini, Al-Ghazali menjelaskan bahawa ilmu itu mampu menjadi kekuatan yang dahsyat bagi umat manusia. Lebih daripada itu juga ayat ini mampu memberi inspirasi kepada umat Islam bahawa jika seseorang, sesebuah masyarakat, atau sesuatu bangsa ingin maju, maka mereka harus mengembangkan ilmu dan teknologi seperti contoh Nabi Daud dan Sulaiman di atas. Secara tegas disebutkan bahawa Allah mengangkat darjat lebih tinggi bagi orang yang berilmu seperti dalam firman-Nya di dalam surah al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud;

“Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Demikian juga kejayaan tamadun Islam terdahulu adalah kerana mereka menjunjung tinggi ilmu pengetahuan. Dengan ini lahirlah sarjana-sarjana Islam dalam segala bidang, sama ada dalam bidang agama mahupun dalam bidang umum. Kita kenal akan Imam Syafie, Hanafi, Hambali, dan Imam Malik. Mereka terdiri peneraju daripada ``mazhab empat'' dalam bidang hukum. Dalam bidang tauhid, muncul ulama terkenal Abu Hassan Al-Asyari dan Abu Manshur Al-Maturidi. Dalam bidang ilmu pengetahuan pula, kita berbangga dengan pakar bidang perubatan iaitu Ibnu Sina, begitu juga Al-Khawarizmi ahli dalam ilmu matematik dan astronomi, dan Ibnu Hayyan ahli dalam ilmu kimia.

Ibnu Khaldun pula merupakan ahli dalam bidang sejarah, Ibnu Rusyd seorang filsuf Islam yang sangat berpengaruh di Eropah dan dunia Kristian. Ilmu Al-Jabar yang amat berguna bagi kemajuan dunia, ditemukan oleh Jabar Al-Isbili. Penemuan angka mulai dari 1-9, juga angka no (0) adalah dari tamadun dan peradaban Islam. Begitulah Islam zaman dahulunya yang telah mencapai kemajuan berkat ilmu pengetahuan yang dikuasai oleh umatnya.Abu al-Hasan al-Masudi (meninggal dunia tahun 957 Masehi) : Pengkaji sejarah, geografi dan penjelajah dari Baghdad. Beliau telah menjelajah ke beberapa buah negeri sebelum menetap di Mesir sehingga meninggal dunia di sana. Beliau juga telah mengarang lebih dari 10 buah buku mengenai sejarah berbagai bangsa. Buku-buku beliau banyak memberikan banyak manfaat.

‏Abu ar-Raihan al-Bairuni (973-1048 Masehi) : Seorang pakar sejarah, matematik, astronomi, geografi, kedoktoran dan farmasi bangsa Arab. Salah seorang alim ulama Islam yang terkenal. Mengikut sejarah, beliau merupakan seorang ahli sains terkenal dan orang pertama yang menyatakan bahawa bumi beredar mengelilingi poros. Beliau telah mengarang lebih dari 120 buah buku.Abu at-Tayyib al-Mutanabbi (915-965 Masehi) : Beliau di antara penyair Arab yang terkenal, seorang pakar terhadap kaedah mencipta syair Arab. Beliau sangat terkenal dengan qasidah, kata-kata hikmat dan kecintaan terhadap pengembaraan. Orang-orang Arab menganggap beliau sebagai Penyair Islam yang terkenal.Abu al-Atahiah (748-825 Masehi) : Seorang penyair Islam, Syair berbentuk asmara dan puji-pujian ditinggalkan dan menitikberatkan kepada kezuhudan. Belaiu mendapat sanjungan yang tinggi di sisi Khalifah Harun ar-Rasyid.Abu al-Ala’ Al-Ma’arri (973-1057 Masehi) : Seorang penyair dan ahli falsafah Islam. Alim dalam bidang agama, mazhab-mazhab dan pegangan setiap kumpulan agama. Seorang yang sangat mahir dalam bidang sejarah. Hidup di dalam kezuhudan dan menggelarkan dirinya sebagai Tawanan di dalam dua penjara. Beliau telah mengarang lebih dari 70 buah buku dan beberapa buah antologi (diwan) syair. Buku-buku beliau telah diterjemahkan ke dalam berbagai bahasa.أAbu al-Faraj al-Asbahani (897-967 Masehi) : Di antara pakar-pakar terkemuka di dalam bidang sastra, sejarah dan bahasa. Beliau telah mengarang beberapa buah kitab dan yang paling terkenal di antaranya ialah “Al-Aghani” [Lagu-lagu] yang mana beliau mencatatkan tentang sejarah secara saintifik dan terperinci.Abu al-Qasim az-Zahrawi (1030-1106 Masehi) : Di antara pakar-pakar bedah yang paling mahir di negeri-negeri Arab pada zaman beliau. Orang pertama yang mengarang berkenaan dengan pembedahan di kalangan bangsa Arab seperti, At-Tasrif Liman Ajaz An At-Talif. Beliau telah mencipta banyak alat-alat pembedahan yang baru. Kelebihan az-Zahrawi merangkumi setiap bentuk ilmu perobatan serta peralatan-peralatannya. Buku-buku beliau telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin, Ibrani, Perancis dan Itali.Abu al-Wafa’ al-Buzjani (940-998 Masehi) : Seorang ahli astronomi dan ahli matematik Arab paling terkemuka yang pernah ada. Beliau merupakan salah seorang penterjemah yang mahir dari Yunani (Greece). Beliau telah mengarang kira-kira 5 buah buku dan yang terkenal di antaranya ialah, Al-Handasah [geometri].Abu Bakar al-Baitar (meninggal dunia pada tahun 1340 Masehi) : Seorang doktor veterinar (haiwan) dan penjaga kuda milik an-Nasir bin Qalawun, mahir mengenai penyakit-penyakit pada kuda. Beliau telah mencurahkan hasil penyelidikannya di dalam buku, Kasyifu Al-Waili fi Marifati Amradhi Al-Khaili (Kajian menyeluruh untuk mengetahui tentang penyakit-penyakit kuda).

Ar al-Baihaqi (meninggal dunia pada tahun 1066 Masehi) : Seorang yang faqih dalam mazhab Syafie. Beliau mempunyai kelebihan dalam mazhab Syafie kerana buku-buku karangannya banyak membincangkan kaedah mazhab tersebut. Beliau juga dianggap sebagai ulama besar hadis dan telah mengarang lebih dari 10 buah buku. Di antara yang paling terkenal ialah, As-Sunan al-Kubra.Abu Bakar Ar-Razi (864-923 Masehi) : Tergolong di antara doktor-doktor dan ahli-ahli falsafah Islam yang terkemuka. Beliau sangat mahir di dalam bidang ilmu kimia, musik, mengarang syair dan astronomi. Beliau juga telah mengarang lebih dari 200 buah buku dan sebahagian darinya berkenaan dengan kedoktoran. Di antara buku-buku yang termasyhur ialah, Al-Hawi dan risalah Al-Judari wa Al-Hasbah” (penyakit cacar dan campak).

Abu Bakar al-Karkhi (meninggal dunia pada tahun 1020 Masehi) : Ahli matematik Islam, tinggal di Baghdad. Kebanyakan karangan-karangan beliau adalah dalam bidang aljabardan aritmetik. Di antara yang terkenal ialah, “Al-Kafi [memadai] dalam bidang aritmetik.

Abu Tammam (788  845 Masehi) : Penyair Arab di zaman Abbasiah. Syair beliau mencapai tahap kecemerlangan paling tinggi dan tidak dapat ditandingi, mempunyai kelebihan melalui khayalan beliau yang meluas. Syair-syair beliau banyak mengandungi kata-kata hikmat dan perumpamaan. Beliau mempunyai beberapa buah dewan (antologi) syair dan di antara yang termasyhurnya ialah yang dialunkan setelah kemenangan Khalifah al-Muktasim di dalam peperangan Amuriah.Abu Jaafar al-Khazin (meninggal dunia pada tahun 1010 Masehi) : Salah seorang ahli astronomi Islam yang terkemuka. Beliau sangat alim di dalam matematik dan geometri (kajiukur). Beliau juga telah mengarang lebih dari empat buah buku dan di antara yang terpenting ialah Al-Masail Al-Adadiah.

‏Abu Jaafar at-Tusi (995-1067 M) : Pentafsir dan ahli fiqh golongan Syiah, pengasas universiti An-Najaf. Buku-buku beliau hampir musnah beberapa kali dan di antara karangan beliau yang termasyhur ialah, “Al-Bayan Al-Jami’ Li Ulum Al-Quran” [uraian menyeluruh terhadap ulum al-Quran] dan Al-Hadis Inda Asy-Syiah [hadis di sisi Syiah].Abu Hamid Al-Ghazali (meninggal dunia pada tahun 1111 Masehi) : Ahli falsafah dan ulama Islam, digelarkan dengan Hujjatul Islam [Pakar dalam Islam]. Beliau mempunyai lebih dari empat belas buah karangan dan di antara buku-buku beliau ialah Ihya Ulum Ad-Din.

‏Abu Hanifah ad-Dainawari (meninggal dunia pada tahun 895 Masehi) : Jurutera, ahli sejarah, ahli falsafah dan saintis dalam bidang tumbuhan, berbangsa Arab. Abu Hayyan at-Tauhidi berkata: Beliau telah mengumpulkan di antara kata-kata hikmat ahli falsafah dan kefasihan bahasa Arab. Beliau memiliki kemahiran dalam segala bidang ilmu. Beliau juga telah mengarang lebih dari sepuluh buah buku.Abu Hayyan at-Tauhidi (meninggal dunia pada tahun 1010 Masehi) : Penulis dan ahli falsafah bangsa Arab yang berpegang dengan pegangan Muktazilah, sangat terkenal dengan keadilan dan berpegang teguh dengan ketauhidan Allah. Beliau mempunyai gaya tersendiri yang tidak dapat ditandingi di dalam bidang penulisan.

Abu Daud as-Sijastani (meninggal dunia pada tahun 817-889 M) : Salah seorang imam dalam bidang hadis. Beliau mempunyai kitab As-Sunan yang tergolong di antara enam buah kitab hadis sahih.Abu Zuaib al-Huzali (meninggal dunia pada tahun 648 M) : Penyair Islam yang hebat dan hidup di dalam dua generasi. Beliau telah mengambil bahagian di dalam pembukaan Afrika Tunisia sekarang.

‏Abu Zaid al-Balkhi (850-934 M): Ahli dalam filsafat dan geografi, telah mengarang lebih dari empat belas buah buku, dan bukunya yang terkenal adalah “Shuwar al-Aqaliim”.Abu Sulaiman al-Mantiqi (meninggal dunia pada tahun 990 Masehi) : Ahli falsafah berbangsa Arab dan mahir di dalam ilmu mantiq. Beliau telah mengarang beberapa buah buku dan yang terkenalnya ialah, “Siwan Al-Hikmah” [pemelihara hikmat], di dalamnya mencatatkan sejarah falsafah Yunani dan falsafah Islam.

‏Abu Abdullah al-Idrisi (1100-1165 Masehi) : Seorang pengembara dari Morocco yang pakar dalam bidang geografi dan kedoktoran. Beliau telah mengarang beberapa buah dan di antara buku-buku yang termasyhurnya ialah buku geografi lama dan telah diterjemahkan ke dalam berbagai bahasa Eropa.Abu Othman al-Mazini (meninggal dunia pada tahun 863 Masehi) : Seorang pakar bahasa dari Basrah, tergolong di antara ulama bahasa Arab yang terkemuka. Seorang yang wara dan penuh ketakwaan. Beliau mempunyai lebih dari enam buah karang dan di antara yang terpentingnya ialah “At-Tasrif”.

‏Abu Ali al-Khayyat (meninggal dunia pada tahun 835 Masehi) : Ahli astronomi berbangsa Arab dan di antara ahli falak (astronomi) yang termasyhur di dalam sejarah Islam. Ahli-ahli astronomi Eropa mengenali beliau dengan nama al-Bohali. Setengah dari buku-buku karangan beliau telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin.Abu Firas al-Hamdani (932-968 Masehi) : Seorang Amir, penyair dan pahlawan berkuda. Beliau pernah terlibat di dalam beberapa peperangan. Menjadi gubenur di Minbaja dan Harran. Beliau pernah ditawan oleh tentera Roma di mana dari itulah beliau telah menghasilkan qasidah yang paling masyhur Ar-Romiyyat (Wanita-wanita Rom).

Peradaban Islam telah memainkan peranan yang sangat signifikan dalam sejarah kemajuan umat manusia dengan meninggalkan pengaruh yang besar baik dalam akidah, ilmu, hukum, falsafah (hikmah), seni, sastera dan sebagainya yang begitu jauh jangkauannya dan kuat pula impaknya terhadap hasil yang dicapai oleh peradaban moden. Pengaruh ini tidak hanya dari sisi bidang sains, tetapi juga akidah.

Dasar-dasar prinsip peradaban Islam mempunyai pengaruh besar terhadap gerakan-gerakan reformasi keagamaan yang berlaku di Eropah sejak abad ke-7 hingga kebangkitan Rennaisance. Jackson J. Spielvogel `mengakui' peranan dan keutuhan kaum muslim dalam bidang budaya dan ilmu pengetahuan begitu hebat sehingga menyerap masuk ke dalam peradaban Barat. Beliau menjelaskan: ``Umat Islam telah menciptakan budaya kosmopolitan yang sangat hebat. Pada waktu Eropah Barat masih berada dalam kehidupan desa dengan kampung-kampung kecilnya, sepanjang abad-abad awal didominasi kerajaan Arab.

Dunia Islamlah yang menyelamat dan menyebarkan ilmu pengetahuan dan karya-karya besar Plato dan Aristoteles kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Karya-karya itu kemudiannya dijaga di dalam perpustakaan yang dipanggil sebagai House of Wisdom (Bait al-Hikmah) di Baghdad, di mana karya-karya itu dibaca dan dipelajari para ilmuwan Muslim. Perpustakaan itu juga memuatkan buku-buku matematik yang dibawa dari India. Pengkajian ke atas teks-teks kuno itu juga dibantu dengan penggunaan kertas. Pembuatan kertas-kertas sudah lama dikenal oleh Cina pada abad ke-8 dan pada akhir abad itu juga, fabrik kertas sudah terdapat di Baghdad, penjual buku dan perpustakaan-perpustakaan dapat mengambil manfaat ilmu pengetahuan Islam setelah karya-karya tersebut diterjemahkan ke bahasa Latin dari bahasa Arab.

Ilmuwan Muslim bukan hanya dipuji kerana menyumbangkan banyak ilmu pengetahuan ke Barat, tetapi juga kerana mereka sudah memajukan dunia mereka sendiri. Lebih-lebih lagi pada masa ini, penglibatan Muslim dalam bidang ilmu pengetahuan, ilmu alam masih dapat dibuktikan di mana jua pun. Daftar pencapaian umat Islam dalam bidang matematik dan astronomi amat mengagumkan. Avicenna (Ibnu Sina) adalah salah seorang daripada sedemikian ramai ilmuwan Muslim yang karya-karyanya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin sehingga dapat membantu kehidupan intelektual di Eropah pada abad ke-12 dan 13.

Dari sisi yang lain, kekuatan politik dan kemakmuran ekonomi merupakan tunjang utama kepada kemajuan dan kekuatan peradaban Islam pada abad pertengahan. Kebangkitan kekuasaan khalifah Abbasiah yang bersifat kosmopolitan dibendung menerusi khalifah-khalifah Umaiah yang telah memberi ruang yang pesat dan terbuka kepada proses perkembangan ilmu pengetahuan. Pada waktu ini, lahirlah para intelektual Muslim dalam meneruskan percambahan ilmu dalam pelbagai bidang daripada intelektual, ekonomi, perubatan, sastera, falsafah, pertanian, pelayaran, biologi sehinggalah mencakupi bidang humaniora.

Umat Islam zaman dahulu dipandang mulia dan tinggi martabatnya disebabkan kekuatan ilmunya. Cahaya ilmu mereka telah terbukti berjaya menyinari lorong-lorong gelap peradaban dunia. Bagaimanapun, sekarang ini, apakah kita hanya dapat berbangga dengan kejayaan masa silam tanpa mengorak langkah bagi mencipta kecemerlangan masa kini?

Catatan : Ibnu Omar

Written by Admin
Category: Peradaban
Hits: 1011
  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

Bacaan Popular


Baca topik

Terkini


TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com