Dalam khazanah dan pemikiran Islam, Sayyidah Aisyah merupakan sosok yang berperanan besar dalam sejarah perjalanan Islam sehingga ke hari ini. Sebagai isteri kesayangan dan individu yang paling dekat dengan Nabi Muhammad SAW, sudah tentu banyak perkara dan pelajaran penting yang didapat oleh Aisyah. Oleh sebab itu, Aisyah dikenali sebagai sosok yang luar biasa yang tidak hanya membantu Nabi dalam urusan rumah tangga tapi mampu berperanan sebagai pendamping penting dalam urusan masyarakat dan negara.
Kita tidak dapat membayangkan sekiranya Islam tidak lahir, sudah tentu nasib kaum wanita tidak hanya tetap tidak terbela dan terhormat sepertimana kedudukan 'teman setilam'nya (kaum lelaki), akan tetapi lebih daripada itu, kaum wanita terancam 'punah' akibat tradisi jahiliyyah sebelum kedatangan Islam yang 'alergik' terhadap wanita dengan menanam hidup-hidup setiap wanita yang lahir.
Wanita yang digelar sebagai Ummul Mukminun (ibu orang-orang mukmin) itu merupakan first lady negara Madinah yang menjadi saksi penting kepimpinan Nabi Muhammad SAW dalam menerajui negara dan ummat Islam sehingga ke detik-detik akhir kemangkatan baginda. Siti Aisyah juga individu yang paling sibuk bagi merawat Rasulullah sejak sakit sehingga kewafatan baginda di atas pangkuan Aisyah.
Keperibadian dan watak Aisyah menjadi daya kuat bagi Nabi yang begitu mencintainya sehingga menggelarnya sebagai 'humairo' (kemerah-merahan kerana Nabi sering menggoda tersipu malu sehingga pipi yang memerah). Karakter Aisyah merupakan gabungan kedewasaan dan kematangan jiwa yang dimiliki oleh Khadijah isteri pertama Nabi dan watak Aisyah sendiri yang dikenali mempunyai paras kecantikan yang mempesona, daya intelektual tinggi dan kematangan personaliti yang tiada tandingannya.
'Pekej lengkap' yang dimiliki oleh Aisyah ini menjadikan Nabi Muhammad SAW sentiasa bergairah dan naik syahwat apabila bertemu dengan Sayyidah Aisyah. Ini sebagaimana yang diriwayatkan Ummu Salamah "Rasulullah tidak dapat menahan diri jika bertemu dengan Aisyah".
Di mata Nabi SAW, Aisyah merupakan isteri yang istimewa. Lantaran itu, beliau telah meminta izin kepada isteri-isteri yang lain untuk 'memperuntukkan' masa lebih lama berbanding isteri yang lain. Di antara isteri-isteri Rasulullah SAW, Saudah bin Zum`ah sangat memahami keistimewaan Aisyah, sehingga sebahagian besar malam bahagiannya direlakan untuk Aisyah. Oleh sebab itu Aisyah menjaga penampilan dan perawatan badan agar jangan sampai baginda menemukan sesuatu yang tidak mengecewakan darinya.
Aisyah sentiasa mengenakan pakaian yang bagus dan selalu berhias untuk Rasulullah SAW. Menjelang wafat, Rasulullah SAW meminta izin kepada istri-istrinya untuk beristirahat di rumah Aisyah selama sakitnya hingga wafat. Dalam hal ini Aisyah berkata, “Merupakan kenikmatan bagiku karena Rasulullah SAW wafat dipangkuanku.” Bagi Aisyah, merupakan kehormatan yang sangat besar karena dapat menjaga baginda Nabi hingga akhir hayat.
Pesona Aisyah semakin sempurna seiring dengan kecemerlangan otaknya dan bakatnya dalam aspek kepimpinan. Aisyah merupakan individu yang amat luas ilmu pengetahuannya. Disebabkan ketekunan dan kesungguhannya belajar, beliau menguasai pelbagai bidang keilmuan seperti ulumul Qur'an, Hadis, fiqh, bahasa Arab dan syair. Sebagai peribadi yang paling rapat dengan Rasulullah dan kerap menyaksikan proses turunnya wahyu, Aisyah turut dikenali sebagai periwayat hadis yang produktif dan terpercaya.
Terdapat pendapat yang menyatakan Aisyah telah menghafal dan meriwayatkan hadis sebanyak 2210 sehingga beliau digelar sebagai Al Mukatsirin iaitu orang yang banyak meriwayatkan hadis. Keluasan ilmu dan kecemerlangannya membuat Aisyah menjadi salah satu tokoh yang menjadi rujukan kaum muslimin terutama golongan wanita bagi merungkai persoalan dan hukum hakam agama.
Selain kecemerlangan otaknya, Aisyah juga dikenali sebagai peribadi yang dermawan. Dalam sebuah kisah diceritakan bahawa Aisyah ra pernah menerima wang sebanyak 100.000 dirham. Kemudian beliau meminta para pembantunya untuk mengagih-agihkan wang tersebut kepada fakir miskin tanpa menyisakan satu dirham pun untuk beliau. Harta duniawi tidak menyilaukan Aisyah RA. Meskipun pada masa itu kedudukan ekonomi negara amat baik, namun Aisyah RA tidak mengambil kesempatan menggunakan kemudahan negara tetapi hidup dalam kesederhanaan sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW.
Dalam konteks kepimpinan, peristiwa perang Jamal jelas menunjukkan bahawa Aisyah merupakan tokoh yang disegani dan berwibawa dalam memimpin pasukannya. Terlepas apakah peristiwa itu bersifat kontroversial kerana aspek penentangannya kepada kekhalifahan Ali bin Abi Talib, namun peristiwa itu menjadi petunjuk penting kepada kemampuannya memobilisasi sokongan dan memantapkan barisan tenteranya menentang apa yang dianggapnya sebagai menegakkan 'kedaulatan undang-undang' berikutan kes pembunuhan Usman bin Affan.
Penglibatan dan malah Aisyah sendiri mengetuai ketenteraan ini menyerlahkan bakat kepimpinan politik yang oleh sebahagian besar orang dipersepsikan sebagai 'wilayah' garapan kaum lelaki. Oleh yang demikian, isu-isu mengenai feminisme dan kesetaraan gender yang selama ini sinonim tumbuh dan berkembang di dunia Barat jelas jauh ketinggalan dengan apa yang telah dipraktikkan oleh Aisyah tersebut.
Meskipun gerakan feminisme sendiri baru dikenali dan dipopularkan oleh Hubertine Auclert di Perancis pada akhir tahun 1880-an, boleh jadi gerakan kaum wanita ini hanya 'imitasi' dan ciplakan dari apa yang telah dicontohkan oleh Aisyah. Hal ini kerana sesungguhnya Aisyah lah yang menjadi peletak asas kepada kesedaran mengenai kesamarataan kaum wanita dan pendedahan kepada kemampuan wanita sebagai pemimpin politik dan kenegaraan.
Kemampuan yang ditinggalkan Aisyah ini tentu saja tidak berlaku secara tiba-tiba. Ketokohan dan kecemerlangan Aisyah pada hakikatnya sudah diisyaratkan jauh sebelum Rasulullah SAW sendiri meminang Aisyah sebagai isteri. Jodoh dan suratan takdir Aisyah sebagai isteri Rasulullah SAW dijelaskan dalam satu riwayat bahawa malaikat Jibril 'menjodohkan' baginda dengan Aisyah yang disifatkan sebagai isteri dunia akhirat. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Tirmidzi dalam hadis, Jibril membawa gambar Aisyah dalam sepotong sutera hijau dan berkata kepada Nabi Muhammad "ini adalah isterimu di dunia dan akhirat".
Selain faktor 'campur tangan' kekuatan transedental (takdir dan isyarat Malaikat) dalam diri Aisyah, sudah tentu didikan dan pembelajaran secara terus menerus daripada Rasulullah dalam menggilap kemampuan semula jadi Aisyah. Sebagai isteri yang bertuah kerana paling lama mendampingi baginda di Madinah, Aisyah semakin mengasah kemampuannya dalam pelbagai aspek kehidupan dengan bimbingan dan penyeliaan langsung daripada Rasulullah.
Kecemerlangan dan daya intelektual Aisyah merupakan karya suami yang mendidikanya dengan penuh cinta sejati, kasih sayang, penuh dengan romantika kehidupan rumah tangga yang mencetak keperibadian yang unggul sehingga menjadi panutan setiap muslimah. Gabungan antara pesona kecantikan dan kecemerlangan pikiran Aisyah menjadikan rumah tangga Nabi sebagai rumah tangga yang ideal. Rumah sebagai tempat tinggal yang nyaman dan diistilahkan sebagai bayti jannati (rumahku syurgaku).
Sumbangan dan peranan Sayyidah Aisyah sama ada dalam kehidupan rumah tangga Rasulullah SAW mahupun dalam konteks kehidupan sosial bermasyarakat menunjukkan Islam merupakan agama pembebas, agama pencerahan dan yang paling penting ialah agama yang memberi tempat yang istimewa kepada kaum hawa.
Melalui Aisyah juga, Islam memberi contoh dan tauladan kepada umatnya bagaimana membentuk keluarga yang harmonis, mesra dan penuh kasih sayang sepertimana yang digambarkan dalam Al Quran sebagai keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah yang menjadi idaman kepada setiap pasangan suami isteri hari ini hingga akhir zaman kelak.
Oleh: Ibanah Suhrowardiyah Shiam Mubarokah