MEMBULI, LEGITIMASI POLITIK DAN DEMOKRASI IV (AKHIR)
Berkenaan amalan etika politik yang merosakkan dalam sesebuah negara, sama ada aktornya adalah pemimpin ataupun dalam kalangan mereka yang mencari kuasa, Jean-Francois Lyotard (1924-1998) dan Jean-Lyod Thebaud menulis sebuah hipotesis yang cukup menarik dalam memperkatakan pengaruh pascakolonialisme. Buku tersebut, Just Gaming, (diterbitkan oleh University of Minnesota, 1985) dan dikategorikan dalam siri teori dan sejarah sastera.
Pada mulanya buku tersebut merupakan kesan dan pengaruh mengenai permainan bahasa dalam kehidupan masyarakat awam. Oleh kerana bahasa adalah ‘keajaiban’ yang belum dapat ditandingi oleh mana-mana perkembangan tamadun manusia, bahasa telah digunakan sebagai alat berfikir – bertukar-tukar maklumat, menghasilkan rumusan (sintesis) dan sebagainya – maka persoalan bahasa dan penggunaan cukup kuat dikaitkan dengan ‘bahasa jiwa bangsa’. Dari bahasalah kita dapat memahami sesuatu bangsa, sama ada daripada identiti budaya, cara dan kaedah berfikir, kerana menerusi bahasalah manusia berkumpul dalam satu kesatuan sehingga membentuk peradabannya.
Para pengkaji dalam bidang komunikasi berkata: bahasa ibarat simen yang melekatkan kepingan batu bata sehingga membentuk sebuah bangunan yang kuat, gah dan menawan. Misalnya, Samuel Iche Hayakawa (1906-1992), tokoh akademik Amerika Syarikat yang lahir di Kanada dan mempunyai susur galur berketurunan dari Jepun yang cukup terkenal dalam kajian semantik (makna bahasa) menulis: Insight into human symbolic behavior and into human interaction through symbolic mechanisms comes from all sorts of disciplines: not only from linguistics, philosophy, psychology, and cultural anthropology, but from attitude research and public opinion study, from new techniques in psychotherapy, from physiology and neurology, from mathematical biology and cybernetics. How are all these separate insights to be brought together? (SI Hayakawa, Languange in Thought and Action, 1939 dan kemudian dikemaskinikan oleh Alan R Hayakawa dan diberikan kata pengantar oleh Robert McNeill, 1949).
Ini bermakna, daripada bahasalah seseorang itu akan bertindak dan melakukan apa yang dipercayai dan difahaminya. Namun, sesuatu tindakan dan interaksi berlaku bukan hanya kerana bahasa itu sendiri, tetapi ikut mengambil peranan ialah lain-lain bidang, kerana manusia dibentuk oleh pelbagai pengaruh, persekitaran dan disiplin. Faktor-faktor itulah yang membentuk mekanisme simbolik.
Menurut Loytard dan Thebaud, permainan bahasa ikut menimbulkan pelbagai perkara sehingga perkara yang serius bertukar menjadi sindiran, dalam bentuk satira, lelucon mahupun kecaman. Ini dapat kita renungkan semula mengenai perkataan ‘derma’ yang diperkatakan ke atas Najib Tun Razak terhadap sumbangan RM 2.6 bilion yang diterima daripada Arab Saudi, yang kemudiannya dijadikan tema kecaman oleh Dr Mahathir Mohamed.
Ekoran daripada kecaman itu, Najib digambarkan ‘bersalah’ dan istilah ‘derma’ menjadi sesuatu yang cukup sensitif. Contoh yang lain ialah pengakuan seorang ADUN PAS di Perak pada tahun 2008 terhadap perlakuan seks dengan seseorang sebagai habuan tertentu yang kemudiannya menjadi sebuah kata yang cukup sinikal dan lucu, ‘derma seks’.
Bahasa juga digunakan untuk menafikan sesuatu perlakuan (membentuk alasan) yang dianggap buruk, misalnya seorang ADUN DAP yang didakwa ‘merogol’ seorang pembantu rumah. Strategi penafian atau mempertahankan diri itu diungkapkan menerusi kata-kata bahawa beliau tidak melakukan perbuatan terkutuk itu kerana ‘mati pucuk’.
Bagi Loytard dan Thebaud, sampai kepada satu tahap ramai akan beranggapan bahawa apa yang berlaku dalam kehidupan manusia seharian hanya sekadar permainan (Just Gaming). Ia adalah sebuah permainan dan olok-olok bahasa seumpamanya kata-kata seorang ibu kepada anaknya yang masih kecil untuk melarangnya keluar bermain-main di waktu senja.
Apa akan berlaku sekiranya persoalan integrity, nilai, adab, moral, pelanggaran undang-undang dan sebagainya yang menjadi sebahagian kayu ukur peradaban dikategorikan sebagai ‘hanya permainan’, seolah-olah sarkas kangaroo ketika memasuki kawasan ladang yang cukup subur dan dipenuhi oleh pucu-pucuk muda yang menjadi buruan makanannya?
Seseorang, sama ada pemimpin ataupun bekas pemimpin, yang hukum utamanya dinilai dalam skala integriti akhirnya dihadapkan dengan persoalan ‘harapkan pegar, pegar makan padi’? Sebuah pertanggungjawaban yang dirobek oleh naluri sendiri, mengambil kesempatan di atas kedudukannya sebagai orang yang berkuasa atau berpengaruh.
Maksud asal perkataan yang digunakan, sama ada oleh orang yang dilihat melakukan kesalahan tersebut dan orang yang menuduh telah menimbulkan pelbagai persoalan yang kemudiannya membentuk pula surplus cognitive sebagaimana dijelaskan oleh Clay Shirky dalam Cognitive Surplus: How Technology Makes Consumers into Collaborators (2011) yang dapat fahami kesannya akibat partisipasi pengguna media sosial. Isu asal tenggelam, dan apa yang timbul ialah isu-isu sampingan sehingga mencetuskan fenomena lucu dan tersingkap permainan pembingkaian untuk ‘membunuh karakter’ seseorang.
Apabila seseorang dituduh, disiasat dan seterusnya didakwa, maka bermulalah sebuah permainan bahasa yang cukup mencabar adab, norma, moral dan hukum-hukum agama. Umpamanya, ‘derma seks’. Dalam mana-mana hukum moral tidak derma dalam bentuk seks, kerana perlakuan seks di luar pernikahan adalah satu tabiat yang dikecam, dilarang bahkan diharamkan.
Derma adalah sesuatu perbuatan atau tindakan yang cukup terpuji, baik daripada perspektif moral, adab mahupun agama. Apabila digabungkan menjadi ‘derma seks’, makna derma sudah bertukar menjadi sesuatu yang tidak senonoh, beradab dan menyimpang pahala dalam agama, sebaliknya tetap berdosa. Makna derma sudah ternoda. Makna derma sudah hilang kekudusan nilai dan rasa tanggungjawab dalam perspektif ihsan dan kemanusiaan.
Itulah juga dengan apa yang berlaku dalam senario politik Malaysia apabila pemimpin politik menggunakan kata-kata benci, marah dan geram bagi melempiaskan ‘rasa kecewa’ selepas keinginan atau hajatnya terhalang. Misalnya, kita ambil apa yang diungkapkan oleh Lim Guan Eng yang cukup lama memperjuangkan makna dan budaya integriti dalam masyarakat, akhirnya sangat terburu-buru membuat kenyataan “kepala otak” terhadap keputusan KKM untuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai pemberian derma dua juta vaksin oleh seseorang.
KKM bukan menolak permohonan tersebut, tetapi inginkan kepastian sama ada benar atau tidak derma vaksin itu. KKM hanya memerlukan bukti bahawa seseorang itu telah membuat
tempahan ‘membeli vaksin’ daripada pengeluar vaksin. Bukti yang diperlukan ialah nama syarikat yang dikatakan akan membekalkan vaksin, deposit atau bayaran yang telah dibuat.
Alasan KKM adalah cukup logik, kerana dalam dunia persaingan dan pembulian, terlalu banyak perkara-perkara yang boleh dilihat sebagai ‘pembohongan’ atau tinggal janji. Jika kelulusan diberikan tanpa kepastian dan kebenaran faktanya, maka KKM akhirnya akan dipersalahkan memberikan kelulusan tanpa diperiksa terlebih dahulu, Apatah lagi isu vaksin bukanlah sesuatu yang ‘main-main’, ia berkaitan dengan faktor keselamatan nyawa yang boleh menyebabkan krisis kesihatan jika keputusan dibuat secara semberono;
Namun, dalam persekitaran yang cukup ‘murah hati’ keputusan semberono amat banyak kita temuai. Hal ini memberikan ilham kepada Paul Roberts untuk menulis sebuah buku berjudul The Impulse Society: America in the Age of Instant Gratification (2015). Hadiah segera yang cukup memerangkap pembelian dalam persaingan perniagaan. Misalnya, bagaimana McDonald melancarkan anak patung tertentu yang menjadi ‘kegilaan anak-anak’ tetapi, patung tersebut hanya boleh diperolehi dengan harga tertentu setelah membeli pakej makanan tertentu.
Apa yang dilakukan ialah untuk meningkatkan keuntungan dan menaikkan jumlah jualan. Apabila ada patung dipromosikan, ia menyebabkan pembelian produk MacDonald atau KFC cukup menanjak. Ada Minion. Ada Hello Kitty. Ada ‘macam-macam’ yang sengaja dilakukan untuk kita sebagai sebahagian masyarakat semberono (impulse society), kerana ia meningkatkan desakan, bisikan hati kanak-kanak untuk mendapatkannya walaupun sebenarnya tidak semua kanak-kanak sukakan produk makanan segera MacDonald.
Dalam politik hal yang sama juga berlaku. Kalau kita tinjau kembali terhadap peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim pada tahun 1998, kita akan teringat bagaimana buku Shit karya Shahnon Ahmad (1999) walaupun bahasa yang digunakan cukup kasar, loya dan memualkan mendapat sambutan hangat sehingga menggerakkan ‘lanun-lanun’ untuk memproduksikannya secara haram alias cetak rompak.
Novel Shit turut menjadi desakan beberapa orang agar kerajaan menarik balik Anugerah Sasterawan yang diterima oleh Shahnon Ahmad pada tahun 1983. Novel itu turut dijual di pasar malam sehingga harganya meningkat lebih sekali ganda. Novel itu dilihat sebagai kritikan tajam kepada kerajaan terutama Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamed yang memecat Anwar Ibrahim, seorang pemimpin yang dilihat cukup Islamik dan berpotensi untuk melonjakkan pencapaian negara.
Pemecatannya bukan kerana didesak oleh ahli UMNO, tetapi kerana Dr Mahathir merasakan Anwar adalah ancaman yang boleh menggugat kelangsungan politiknya. Sebelumnya, Anwar sudah menunjukkan ‘perseteruan’ tatkala Dr Mahathir mempopularkan Nilai-Nilai Asia, Anwar tidak mahu ketingggal, maka dikumpulkan ucapan dan huraian falsafahnya menjadi buku Asian Renainsance (1996).
Apabila negara dilanda krisis matawang, Anwar membuat cadangan untuk meminjam wang daripada IMF yang akhirnya tidak dipersetujui oleh Dr Mahathir. Mahathir membuat perhitungan sendiri, maka ditambatkan kadar tukaran wang bagi setiap dolar dengan nilai RM 3.80.
Sebelumnya, Anwar didakwa merancang melakukan ‘grand design’ untuk menyingkirkan Dr Mahathir, salah satu percakapannya telah dirakamkan dan disebarkan kepada umum, termasuk surat terbuka yang memerihalkan perilaku bekas pemimpin ABIM itu oleh Sanusi Junid.
Akhirnya, apabila Anwar dilaporkan mempunyai masalah moral, menurut maklumat PDRM, maka ia menjadi penyebab untuk memecatnya, bila enggan dinasihatkan supaya meletakkan jawatan. Selepas itu imej Dr Mahathir digambarkan cukup seram, umpama fir’aun yang kejam dengan tambahan tanduk di atas kepala.
Satu isu yang cukup hangat diperkatakan selain pembabitan Datuk Azam Baki dalam pemilikan saham ialah desakan seorang wakil rakyat agar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Nor Hisham Abdullah digantikan. Alasanya ialah kegagalan pengurusan pandemic COVID-19. Kegagalan itu dikaitkan dengan kepakaran Dr Hisham yang tidak sesuai. Dr Nor Hisham adalah pakar bedah (kanser), bukannya pakar kesihatan awam.
Apakah motif desakan MP Bintulu itu? Apakah ‘kegagalan menangani COVID-19’ adalah disebabkan oleh Dr Hisham seorang? Apakah Dr Hisham melaksanakan tanggungjawab tersebut bersendirian dan bukannya secara berpasukan? Apakah dalam pasukan tersebut tidak ada seorang pun pakar kesihatan awam?
Nampaknya MP Bintulu lebih mengutamakan keputusan tergesa-gesa daripada memahami bahawa COVID-19 bukanlah masalah Dr Hisham semata-mata, ia adalah masalah universal yang menjangkiti seluruh dunia? Apakah apabila KKM mendengar nasihat, menerima pandangan daripada pakar dan organisasi antarabnga, menunjukkan kelemahan KKM?
Kita hidup dalam masyarakat yang saling bergantung dan memerlukan. Kita tidak hidup secara terpisah, kerana negara kita adalah pengamal masyarakat terbuka. Dari segi latarbelakang, Datuk Tiong King Sing bukanlah seorang doktor, beliau sebelumnya adalah seorang saudagar (peniaga) dan pernah menimbulkan kontroversi apabila menyifatkan wakil rakyat pembangkang sebagai ‘kong kali-kong’, yang kemudiannya dibantah oleh Gobinh Singh Deo, Ramkarpal Singh, Khalid Samad dan Tony Pua apabila Azalina Othman mencadangkan Lim Kit Siang digantung.
Menurut Tiong King Siong:”Hakikatnya kekal bahawa dia seorang pakar bedah, yang latar belakangnya bukan dari bidang kepakaran kesihatan awam. Mereka jelas tidak layak tetapi masih enggan mendapatkan nasihat daripada China yang mempunyai pengalaman besar dalam memerangi wabak ini.” (https://www.thereporter.my/2022/01/mengapa-noor-hisham-belum-digantikan-mp.html).
Itulah antara ‘just gaming’ yang sedang muncul dalam lanskap politik Malaysia yang semakin menampakkan budaya kangaroo. Sebabnya mudah, kerana tidak ada satu pun parti politik yang mempunyai kuasa dominasi, dan ini bermakna siapa pun yang mentadbir Malaysia ketika ini amat mudah digelonsorkan. Biarpun Ismail Sabri merupakan pilihan majoriti wakil rakyat, beliau juga berhadapan dengan perilaku beberapa orang pemimpin UMNO yang merasa cuak kedudukannya sebagai Perdana Menteri. Beliau kini mula dikritik dan dikecam dari dalam UMNO sendiri.
Sentiasa ada bahasa yang tidak sepatutnya digunakan untuk menggambarkan seseorang, terutama seseorang yang dipersepsikan sebagai lemah. Apatah lagi dalam keadaan nilai adab yang semakin terbalik, terbalik kerana politik beradab tidak lagi menjadi keutamaan. Politik hanya didefinisikan sebagai ‘kuasa’, bukannya sebagai wadah untuk menyatukan aspirasi sebagaimana diperkatakan dengan panjang lebar oleh Plato dan diperkemaskan oleh Aristotles.
Manusia adalah makhluk bersosial, maka kewujudan parti parti politik adalah salah satu kaedah sosialnya manusia. Tetapi, disebabkan politik itu sangat menjurus kepada kuasa, maka adab bersosial sudah dirombak, dikucar-kacirkan, seumpama kangaroo yang hidupnya untuk mengawal dan mempertahankan dominasi.
Atas sebab itulah apabila seseorang yang dituduh melakukan perkara yang tidak beretika, maka mekanisme mempertahankan dirinya seumpama kangaroo, menyerang ladang-ladang petani untuk mendapatkan pucuk muda, kerana itu adalah makanannya. Dalam politik, bahasa penafian yang menjadi mekanisme mempertahankan diri ialah ‘saya tidak tahu’.
Akhirnya, ‘saya tidak tahu’ bertukar menjadi sindiran politik yang cukup mengingatkan kita kepada permainan bahasa yang menyerupai permainan tradisi zaman kanak-kanak yang kita kenali ‘cak pung cak pung’ dan ‘gelap-cerah’. Dalam mempertahankan diri, terkeluarlah pelbagai isu yang lain dan isu yang muncul itu menjadi sesuatu yang boleh menyamarkan persoalan asal. Itulah sebabnya politik sangat identik dengan ‘pembohongan’ atau mencari rasional dalam situasi kurang rasional, terlalu banyak silogism yang berteraskan logik dan menolak adab, moral, etika dan agama.
It’s Just gaming. Pandangan klasik Harold Lasswell (1903-1978) terhadap makna politik menerusi soalan Siapa Mendapat Apa? Bila? Dan Bagaimana? Kemudian dilanjutkan dalam perspektif komunikasi politik dengan tema yang hampir sama, Who Says What? In Which Channel? To Whom? With What Effect? masih cukup berbisa untuk memahami budaya politik, pola komunikasi sehingga kita boleh menamakan senario yang berlaku sekarang sebagai politik kangaroo.
Gaming bukan sahaja diertikan sebagai permainan atau hal yang olok-olok. Gaming juga cukup seronok dan sekaligus mendukacitakan, apabila ia diserupakan dengan perjudian. Politik juga satu bentuk perjudian, maka politik juga membangkitkan pelbagai rupa, bentuk,wajah dan imej, dari yang postif hinggalah kepada situasi yang parah (amat negatif) dan tragik. Kangaroo sanggup bergaduh, berkelahi sesame sendiri hanya untuk mendominasi wilayah. Dengan mendominasi wilayah, pemenangnya akan turut mendominasi suku-sakat di dalamnya, termasuk kangaroo betina.
Kalau dalam habitat kangaroo begitu, maka dalam habitat manusia kuasa dominasi itu akan membolehkan mereka membolot ‘kekayaan’ yang ada, dengan pelbagai cara dan kaedah, sehingga persoalan adat, adab, budaya, etika, moral dan agama dilentur, sebabnya manusia adalah makhluk yang sangat tidak puas dan monopolistik. Walaupun tidak semua, tetapi rata-ratanya mereka yang berkuasa melakukan, dan amat jarang kita temui ada pemimpin yang tidak kaya selepas beberapa tahun berada di tampuk kuasa.
MONOSIN SOBRI