PERUBAHAN SIKAP RICHARD THE LIONHEART
Mengingat dan meneliti beberapa perilaku Salahudin semasa dalam Perang Salib III menumbuhkan sikap yang berbeza dalam diri Richard.Sebelumnya, Richard melihat Salahudin adalah musuh ketat kepada Tentera Salib dan menjadi matlamat utama untuk membunuhnya. Jika beliau berjaya membunuh Salahudin, bererti dirinya akan disanjung sebagai seorang raja yang paling berjaya dalam memperjuangkan pembebasan Jerusalem, sebuah kota suci yang menjadi rebutan antara tiga agama samawi- Yahudi, Kristien dan Islam.
Jerusalem dilihat sebagai ‘ tanah suci’ oleh umat Kristian kerana di situlah dikatakan bermulanya sebuah perjalanan rohani manusia, yang membentuk komuniti beragama berteraskan seruan Tuhan. Menurut Karen Armstrong, perebutan Jerusalem oleh tiga agama monostetik itu dikaitkan dengan tiga istilah yang sudah membentuk sejarah masing-masing agama. Istilah-istilah itu sangat berkait rapat dan saling membentuk makna ‘suci’, yang berupa mitos dan akhirnya menjadi satu bentuk simbolisme.
Istilah pertama, ialah ‘suci’ atau juga dikaitkan dengan sesuatu tindakan yang bersifat sakral. Oleh kerana adanya ‘kesucian’ dan orientasi ‘perilaku sakral’ maka ‘ketiga-tiga agama telah mengembangkan tradisi-tradisi’ yang kemudiannya dijadikan sebab atau faktor sejarah untuk mendakwa dan menguasainya. Ia menyebabkan Jerusalem menjadi perebutan yang cukup panjang dan masih belum selesai sejak beribu-ribu tahun, yakni dari prasejarah lagi. Jerusalem menjadi sebuah ‘pusat pengkultusan’ dan menurut Karen Arstrong, ia menjadi “satu fenomena yang mendekati universal”.
Istilah kedua yang dikaitkan dengan Jerusalem ialah akibat tindakan dan penyanjungan terhadap ‘perkultusan’ itu membawa kepada penciptaan mitos agama. Mitos-mitos membentuk pula ‘pendapat teologis” sehingga menimbulkan “…ketakutan, kekaguman, antusiasisme, kedamaian dan aktiviti moral yang kuat. Ia bukan sekadar dirasakan sebagai suatu kekuatan “di luar sana” tapi dapat juga dirasakan dalam kedalaman wujud kita sendiri.” Hubungan ini telah membawa pula kepada interaksi dan nilai yang berbentuk simbolisme, yakni istilah ketiga yang terus menjadi sebab konflik tiga agama, iaitu simbolisme.
Menurut Karen Armstrong “ simbol dilihat sebagai bahagian dari realiti yang disimbolkan: sebuah simbol agama, dengan demikian memiliki kekuatan untuk memperkenalkan penyembahan kepada ranah yang sakral. Sepanjang sejarah, yang sakral tidak pernah dialami secara langsung – yang menjadi avatar atau inkarnasi dari yang sakral; ia juga ditemukan dalam teks suci, kod hukum, atau doktrin. Salah satu simbil ilahi yang paling awal dan ada di mana-mana tempat.
“Orang-orang merasakan yang sakral di gunung-gunung, pohon, kota, dan kuil.Ketika berjalan di tempat-tempat ini, mereka merasakan bahawa mereka telah memasuki sebuah dimensi yang berbeza, yang terpisah dari tapi terpaut dengan dunia fizikal yang biasa mereka tempati .Bagi orang-orang Yahudi, Kristian dan Muslim, Jerusalem adalah simbol ilahi semacam itu.”(Karen Armstrong, Jerusalem: Satu Kota Tiga Iman, edisi terjemahan, Surabaya: Risalah Gusti, 2004, hal. xii- xix).
Setelah menyertai misi Perang Salib, Richard melihat peribadi Salahudin cukup berbeza dengan apa yang tergambar dalam mindanya. Maklumat-maklumat yang disampaikan sebelumnya (dalam seruan Perang Salib) cukup berbeza.Ini kerana sikap dan pendirian penguasa agama (gereja) yang berkecamuk dengan keinginan besar bagi memperluaskan makna Christiendom, dengan mengatasnamakan tindakan sakral dan ‘menebus dosa’menerusi penyertaan Perang Suci.
Ia menjadi misi propaganda yang cukup buruk tetapi menarik minat penyertaan. Ini kerana mereka yang menyertainya sebenarnya sudah terlalu banyak dosa kepada manusia dan juga kepada Tuhan yang mereka percaya dan yakin.Dengan menyertainya, kalah atau menang, ia akan dianggap sudah terhapus dosa silamnya. Ia tidak terkecuali dalam memperngaruhi keputusan Richard, yang sebelumnya sangat menyukai homosek.
Dengan menyertai dan memimpin Perang Salib III, Richard beranggapan bahawa dosanya mungkin benar-benar terhapus dan kerana itu, beliau menerima paksaan ibunya, Eleanor untuk berkahwin dengan seorang puteri dari Sepanyol walaupun ketika itu sudahpun memulakan pelayarannya ke Palestin. Perkahwinan antara Richard dan Puteri Berenggaria berlangsung di salah sebuah pulau dalam wilayah Sisili, yang dikuasai oleh menantu Raja dan Ratu England hasil perkahwinan antara Joanna (kakak kandung Richard) dengan William II pada bulan Februari 1177.
Persetujuan itu juga ada kaitan dengan usaha Richard untuk menghapuskan imejnya sebagai seorang homosek, dan perkahwinan itu diharapkan dapat menyelamatkan imej Richard sendiri sekembalinya nanti. Eleanor juga sangat mengharapkan pasangan tersebut bakal melahirkan zuriat lelaki, yang bakal mewarisi legasi Richard dan mengelakkan England diperintahkan oleh John.
Di sisi Eleanor, John bukan seorang yang layak dipilih menjadi raja England, kerana beliau sangat berkepentingan diri dan bersahabat baik dengan Raja Philip Augustus dari Perancis, yang menyimpan dendam ke atas Richard kerana enggan berkahwin dengan saudara perempuannya, Alais Capet. Biarpun hadir ketika Richard berkahwin, Raja Philip Augustus menunjukkan sikap ‘diplomatuk pura-pura’. Beliau meninggalkan majlis tersebut lebih awal kerana bimbang apabila Richard tiba di Palestin, kedudukannya sebagai pemimpin Perang Salib III akan terjejas. Ini kerana kehebatan Richard dalam percaturan perang telah diketahui umum lebih menyerlah dan cekap mengatur strategi berbanding Philip Augustus.
Ketika itu, William II sangat memahami bahawa kedaulatan wilayahnya sangat kuat jika mempunyai hubungan kekeluargaan dengan keluarga di raja Britain, dan dapat mengurangkan tekanan daripada percubaan Perancis. Selepas kematian William II (1189) mereka tidak mempunyai pewaris, dan Tancred dilantik sebagai pengganti.Joanna kemudianya dipenjarakan oleh Tancerd, kerana tidak diakui bahawa beliau adalah sebahagian pewaris monarki Sisila.
Tancerd menjadi sedikit gerun setelah tersebarnya khabar angin bahawa Philip II bercadang mengahwini Joanna yang sedang dipenjarakan.Ini berdasarkan perjumpaan Philip II dengan Joanna di sebuah biara berhampiran tempatnya dikurung. Philip II adalah putera sulong Raja Philip, pemerintah Perancis yang merupakan ‘bekas anak tiri’ Eleanor, ibu kandung Richard. Hal-hal itulah kemudiannya menjadi pertimbangan Tancred untuk membenarkan Richard berkahwin dengan Puteri Berenggaria yang diaturkan oleh Eleanor dan dirancang meriah oleh Joanna. Setelah selesai majlis perkahwinan itu, Joanna menjadi pendamping Puteri Berenggaria menyertai Perang Salib III bersama adiknya, Richard.
Atas tujuan yang dianggap sakral itulah membentuk Doktrin Perang Salib, yang sebenarnya sebagai usaha penguasa gereja untuk memperkukuhkan kedudukan dan hormat kepada keputusan-keputusan mereka, kerana agama itu bukan sahaja diertikan sebagai ‘kehendak moral’ bahkan ‘pencetus malapetaka” sebagaimana dibahas oleh Charles Kimball dalam bukunya, Kala Agama Menjadi Bencana (edisi terjemahan, Bandung: PT Mizan Pustaka, 2003).
Dr Sindhunata dalam kata pengantar edisi terjemahan buku tersebut memulakan pandangannya dengan menulis: Berbicara mengenai agama bagaikan berbicara tentang suatu paradoks, Di satu pihak, agama dialami sebagai jalan dan menjamin keselamatan, cinta dan perdamaian. Di lain pihak, sejarah membuktikan, agama justeru menjadi sumber, penyebab, dan alasan bagi kehancuran dan kemalangan umat manusia. Kerana agama, orang boleh mencintai (saling meyanyangi atau berkasih sayang).Tetapi, atas namapula, orang boleh saling membunuh dan menghancurkan.”(Charles Kimball, ibid, hal. 13).
Charles Kimball memberikan lima sebab ‘kerosakan agama’: (1) masing-masing agama mendakwa bahawa agamanya sebagai kebenaran yang mutlak dan satu-satunya; (2) agama boleh menjadi jahat dan rosak bila adanya ‘ketaatan buta’ kepada pemimpian keagaamaan mereka; (3) agama dilihat korup apabila ‘merindukan zaman ideal’ lalu bertekad untuk merealisasikan zaman tersebut ke dalam zaman sekarang; (4) bila agama mengizinkan berlakunya ‘matlamat menghalalkan cara’; dan (5) agama digunakan sebagai ‘komponen religious’ walhal ia sebenarnya ia adalah alat (sarana) bagi mencapai sesuatu tujuan yang kemudiannya dimutlakkan sebagai ‘Perang Suci”.
Atas faktor-faktor itulah kata Charles Kimball, “sepanjang sejarah gagasan dan komitmen keagamaan telah mengilhami individu dan kaum beriman meninggalkan semua kepentingan peribadi yang sempit demi tercapainya nilai dan kebenaran yang lebih tinggi. Sejarah menunjukkan bahawa cinta kasih, pengorbanan diri, dan pengabdian kepada orang lain seringkali berakar begitu mendalam pada pandangan dunia keagamaan.
“Pada saat yang sama, sejarah dengan jelas menunjukkan bahawa agama sering kali dikaitkan secara langsung contoh terburuk perilaku manusia. Kedengarannya usang, tetapi sayangnya benar, jika dikatakan bahawa dalam sejarah manusia, perang, membunuh orang, dan kini semakin banyak lagi kejahatan lebih sering dilakukan atas nama agama dibandingkan atas nama kekuatan intitusional lain.” (Charles Kimball, ibid, hal. 31).
Richard menjadi seorang yang lebih memahami erti diplomasi, kasih sayang dan belas ihsan, akhirnya merasa curiga dengan kecekapan tenteranya merampas dan mengenakan tindakan ke atas Chalus.Peter Basil turut dibawa ke hadapan Richard, tetapi ternyata tidak ada sedikit pun rasa takut untuk menerima hukuman daripada seorang raja yang bergelar ‘Hati Singa’. Richard berusaha mendapatkan penjelasan daripada Peter Basil, apakah sebabnya melepaskan anak panah itu.
Lalu dijawab oleh Peter Basil: “Dengan tanganmu sendiri kau telah membunuh ayah dan kedua saudara lelakiku, dan kamu ketika itu juga bercadang untuk membunuhku….Jadi, lakukanlah apa pun yang ingin kau lakukan untuk membalas dendam kepadaku kerana aku akan tetap bertahan menghadapi deraan apa pun yang boleh engkau fikirkan sampai kau menemui ajalmu. Kerana, engkau telah menimbulkan banyak kejahatan (kezaliman) besar di muka bumi ini.”
Jiwa Richard mula bergolak, tetapi jiwa tenteranya cukup bersedia untuk melaksanakan perintah ‘memenggal kepala’ Peter Basil. Peter Basil sangat mengharapkan ‘kematian terhormat’ di hujung pedang, disaksikan oleh Richard the Lion Heart, dan dilakukan oleh para tenteranya sendiri. Jawapan Richard sungguh mengecewakan: Teruslah hidup…Dengan kemurahan hatiku, nikmatilah terangnya hari. Biarkanlah orang-orang yang tertaklukkan belajar dari contohku.”(James Reston Jr, ibid, hal. 510-511).
Richard kemudiannya disahkan meninggal pada 6 April 1199. Kerajaan Inggeris dikendalikan oleh John, saudara lelakinya yang sudah diampunkan kesalahannya, yang mungkin sangat dipengaruhi oleh ‘kebaikan Salahudin’ semasa menunjukkan sikap ‘kasih sayang’ membebaskan tawanan perang, termasuk membayar wang pampasan bagi mereka yang tidak mampu dan bersedia memaafkan sesiapa sahaja serta mengucapkan selamat tinggal kepada Richard semasa meninggalkan pelabuhan Acre selepas menyerahkan Baitul Maqdis untuk ditadbir oleh tentera Islam.
Richard yang tewas dengan panahan Peter Basil kerana ingin merampas semula sebuah istana di Chalus, Tengah Perancis. Organ Richard dikuburkan di beberapa tempat: organ dalaman disemadikan di Chalus; organ lainnya dikuburkan di gereja Notre Damme, di Rouen, Perancis manakala jasadnya di Fontevraud Abbey, Utara Perancis. Sisa-sisa hatinya yang berwarna coklat diawet dan disimpan di dalam sebuah kotak kecil dan kemudiannya ditemukan pada Abad ke-19. Beliau yang lahir di Oxford, England sebenarnya banyak menghabiskan masa kecilnya di Aquantine, Perancis, iaitu di wilayah yang diwarisi oleh ibunya, Eleanor.
Richard merupakan putra ketiga daripada perkahwinan Henry II dan Eleanor. Ketika berusia 11 tahun, Richard dinobatkan sebagai Raja di Poitiers (1172) dan beliau dilatih dalam bidang politik dan ketenteraan. Richard pernah bersama saudaranya menjadi pemberontak kepada ayahnya sendiri, Henry II apabila menyerang Aquitaine sebanyak dua kali antara tahun 1174 dan 1176, dan kemudian mendapat pengampunan dari ayahnya.
Richard pernah dibenci oleh rakyat yang dikuasainya. Mereka memohon bantuan Henry II dan saudaranya untuk mengusir Richard.Henry II kemudiannya berjaya mengatasi masalah itu, namun pemberontakan hanya terhenti ketika Henry Jr, seorang lagi anak Henry II yang disifatkan oleh Eleanor sebagai Henry si Anak Haram. Henry Jr merupakan anak hasil hubungan sulit Henry II dengan seorang gundek berbangsa Inggeris.Henry Jr meninggal pada tahun 1183.
Richard sepatutnya tidak menjadi Raja England, wilayah yang diberikan kepadanya ialah Normandia dan Anjou, dan sangat diharapkan agar melepaskan wilayah Aquitaine kepada John, saudara bungsunya. Akibat keengganannya, John meminta bantuan Raja Philip II, Raja Perancis saat itu.
Tahun 1189, John secara terbuka menyatakan sudah bergabung dengan Philip dan sedang berusaha untuk memaksa ayahnya, Henry II turun dari takhta.Henry II kemudiannya terpaksa mengakui bahawa John sebagai pewarisnya, dan ini menyebabkan Richard mula berusaha mengusir ayahnya dari kerajaan. Sejak itu, Henry II hilang takhta dan seterusnya meninggal pada bulan Julai 1189. Dengan kematian ayahnya, Richard menerima takhta Normandia pada 20 Julai 1190 dan takhta Kerajaan Inggeris pada 30 September 1190.
Sebaik sahaja berkuasa, Richard sangat memberikan perhatian untuk memimpin ketumbukan Perang Salib dan kerana itu beliau dianggap sangat tidak mementingkan dasar dan perancangan yang jelas terhadap England, bahkan berusaha untuk menjual aset-aset yang ada bagi membiayai ketumbukan Perang Salib. Dengan dana tersebut, Richard kemudiannya memimpin sebuah armada yang besar menuju ke Palestin bagi menawan Jerusalem daripada kuasa tentera Islam. Namun misinya dilihat tidak berjaya kerana Richard berubah fikiran setelah beberapa hari mengepung Baitul Maqdis, dan bersedia berunding dengan wakil Salahudin al-Ayubbi.
Richard yang dalam perjalanan pulang ke England akhirnya diduga dengan begitu ‘kejam’: gelombang laut telah menyebabkan rombongannya terpaksa terdampar di Vanesia, Itali dan kemudian ditawan oleh Raja Austria’ Kemuncaknya, Richard dijual pula kepada Kaisar Jerman, Henry VI, yang meletakkan ‘harga penebusan’ yang berlipat kali daripada ‘harga belian’. Jelas, Richard menjadi satu bentuk ‘perniagaan’ yang cukup bagi bagi Henry VI.
Selepas beberapa bulan ditawan, Richard dibebaskan dengan tebusan yang cukup besar, tiga kali lebih besar daripada pendapatan tahunan Britain. Sekembalinya ke England, Richard ditabalkan kali kedua sebagai Raja England dan sebulan kemudian, Richard ke Normandia tanpa kembali ke England. Selama 10 tahun pemerintahan keduanya, hanya 11 bulan berada di England.Lima bulan terakhir sebelum meninggal, Richard menghabiskan masa berperang dengan Raja Perancis, Philip II.Beliau meninggal ketika berusia 42 tahun (1199).
Namun siri-siri Perang Salib yang berlangsung selama 200 tahun pada era klasik sangat memberikan pemahaman tentang pergolakan yang cukup ‘sesat’ dan ‘mual’ atas nama eksploitasi ‘Perang Suci’. Hanya kerana seruan bermusuhan oleh Paus Urbanus II, semangat dan definisi Perang Salib terus hidup hingga sekarang, biarpun peperangan yang berlaku pada era moden bukan lagi secara langsung dengan penganut Kristian, tetapi dengan sekelompok aktivis Yahudi yang berideologikan Zionisme, dan mendapat sokongan politik daripada kuasa-kuasa besar. Agama terus digunakan sebagai alat untuk mewajarkan sesuatu tindakan ganas.
Seperti diungkapkan oleh Charles Kimball: Jika kita tidak mampu menemukan cara-cara tanpa kekerasan untuk melangkah ke hadapan menuju keadilan, perdamaian dan keamanan di wilayah ini (Timur Tengah), kita ditakdirkan tidak mampu hidup dalam komuniti dunia yang saling bergantung dan penuh keragaman agama ini.
“ ….Warga Yahudi yang sangat peduli dengan keamanan dan kestabilan bagi negara Israel. Jika konflik yang berlangsung pada abad-abad yang lampau telah mengajarkan sesuatu, maka hanya satu saja, iaitu bahawa keamanan pada akhirnya tidak dapat diraih dengan kekerasan. Kepentingan jangka panjang Israel tentu sahaja berkaitan dengan perdamaian, kestabilan politik, dan kesejahteraan ekonomi.Semuanya itu tidak mungkin tanpa adanya pedamaian, keamanan, kestabilan politik dan kesempatan ekonomi bagi warga Palestin.”(Charles Kimball, ibid, hal. 306-307). (BERSAMBUNG)
Kamarun KH